Bahasa

Kerjasama pembangkang - Dr Mahathir satu pengkhianatan, kata aktivis

Sehingga hari ini, Dr Mahathir masih belum mengakui yang dialah orangnya yang memusnahkan institusi Malaysia. Sekiranya orang lain yang mengetuai inisiatif ini, saya akan terima. Tetapi Dr Mahathir? Mustahil, kata Haris Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2016.Sehingga hari ini, Dr Mahathir masih belum mengakui yang dialah orangnya yang memusnahkan institusi Malaysia. Sekiranya orang lain yang mengetuai inisiatif ini, saya akan terima. Tetapi Dr Mahathir? Mustahil, kata Haris Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2016.Semalam aktivis pembangkang menyuarakan kekecewaan secara terbuka terhadap kerjasama pemimpin mereka bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam inisiatif “Selamatkan Malaysia”.

“Buta”, “lemah” dan “mudah lupa”adalah antara beberapa perkataan yang digunakan mereka sewaktu perhimpunan individu pro-reformasi dan kemarahan mereka diarahkan kepada pemimpin utama pembangkang yang menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lepas.

Mereka merasa dikhianati pemimpin pembangkang yang kini bersama Dr Mahathir untuk “menyelamatkan”Malaysia sedangkan beliau ialah punca utama kehancuran negara ini.

Beberapa orang daripada 13 orang yang berucap di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) nampaknya sangat emosional apabila mengimbau kembali kenangan merasai secara langsung kesan “Mahathirisme” ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negara.

“Mereka meminta kami untuk melupakan apa yang berlaku pada 1998. Bagaimana Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melayan kami ketika kami turun ke jalan, apa yang mereka lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi orang Melayu tidak mudah lupa.

“Najib akan tumbang dengan sendiri. Dia akan tumbang kerana 1MDB, kerana skandal derma RM2.6 bilion. Kami tidak perlukan Dr Mahathir untuk jatuhkan Najib dan Barisan Nasional (BN),” kata Setiausaha Kerja Otai Reformasi Abdul Razak Ismail kepada kira-kira 200 orang yang berkumpul dalam dewan, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Razak berkata, pemimpin Pakatan Harapan membenarkan diri mereka dimanipulasikan Dr Mahathir dan sekutunya, yang sudah terang lagi bersuluh mengatakan mereka masih mahukan BN kekal berkuasa.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Eddy Noor Reduan berkata, bukan soal sama ada Anwar sudah memaafkan Dr Mahathir atau belum- kerana beliau (Dr Mahathir) sudah “mengkhianati” terlalu ramai orang dan pemimpin pembangkang tidak sepatutnya melupakan perkara tersebut.

“Saya pernah buta dan menyokong Dr Mahathir, hanya sedar ketika zaman penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sekarang saya berasa sedih, kerana saya yang dahulunya buta menjadi semakin bijak dan dapat melihat apa yang sebenarnya sedang berlaku.

“Tetapi mereka yang pandai pada 1998 kini pula menjadi buta,”kata Eddy merujuk kepada pemimpin pembangkang yang menandatangani Deklarasi Rakyat.

Malah pemimpin Amanah Selangor Saari Sungib juga berkata, ada perkara yang tidak betul tentang idea Dr Mahathir menjadi “penyelamat” rakyat.

 “Pakatan Harapan perlu menilai kembali keputusan untuk bekerja dengan Dr Mahathir. Ia perlu mengetahui betapa marahnya rakyat kerana deklarasi itu,” kata Saari.

Tetapi aktivis Haris Ibrahim berkata, penentang Gerakan Selamatkan Malaysia diketuai Dr Mahathir perlu mengenepikan emosi dan melihat perkara itu dari sudut pandang strategik.

Katanya beliau sendiri enggan menandatangani Deklarasi Rakyat itu, bukan kerana marahkan Dr Mahathir, tetapi kerana merasakan bekas perdana menteri itu masih belum bertaubat.

“Sehingga hari ini, Dr Mahathir masih belum mengakui yang dialah orangnya yang memusnahkan institusi Malaysia. Sekiranya orang lain yang mengetuai inisiatif ini, saya akan terima. Tetapi Dr Mahathir? Mustahil,”kata Haris.

Badrul Hisham Shahrin dari SAMM memberitahu pemberita program semalam merupakan langkah pertama untuk menyatukan rakyat Malaysia yang tidak gembira dengan kerjasama Dr Mahathir dan barisan pembangkang.

“Ini bukan gerakan, tetapi sebuah pentas untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka. Kami akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberikan peluang rakyat bercakap,” katanya.

Dr Mahathir, disokong sekutu politik lama dalam Umno dan BN, serta musuh beliau seperti Lim Kit Siang dari DAP, menandatangani deklarasi menuntut Najib berundur sebagai perdana menteri dan perubahan institusi bagi mengembalikan integriti kepada badan kerajaan.

Kumpulan itu dilaporkan mensasarkan sejuta orang untuk menandatangani deklarasi itu serta akan menyertai perhimpunan pada 27 Mac sebagai sebahagian daripada program jelajah Selamatkan Malaysia bagi memberi tekanan agar Najib berundur. – 13 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments