Kes demam denggi di seluruh negara diramal menjadi lebih buruk tahun ini berbanding tahun lepas apabila 26,533 kes dilaporkan sejak Januari hingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 1,400 kes berbanding 25,028 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 55 kematian direkodkan di seluruh negara berbanding 65 kematian bagi tempoh sama tahun lepas, serta lebih 2,800 kes baharu denggi dilaporkan setiap minggu di seluruh negara," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi Mobile iDengue hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang diwakili menteri berkenaan Datuk Seri Madius Tangau.
Dr Sumbramaniam berkata kes denggi dijangka meningkat atas faktor termasuk kebersihan persekitaran, pemungutan sampah yang tidak berjadual, sikap rakyat yang tidak bertanggungjawab selain nyamuk Aedes yang merupakan vektor utama wabak denggi.
"Kewujudan aplikasi Mobile iDengue meningkatkan lagi keberkesanan kaedah penyaluran maklumat mengenai status denggi dengan mudah, cepat dan tepat kepada pengguna," katanya.
Dr Subramaniam berkata Selangor mencatatkan jumlah kes baharu demam denggi tertinggi dengan 13,306 kes atau 70% daripada jumlah di seluruh negara.
Ia berlaku atas faktor-faktor dari segi kepadatan penduduk dan jenis penempatan yang ada di negeri itu, katanya.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan, sebanyak 18 kematian direkodkan di Selangor diikuti dengan 9 kematian di Pulau Pinang dan Terengganu manakala Negeri Sembilan (5), Johor (3), Sarawak (3), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2) serta Pahang (2).
Ini diikuti dengan masing-masing satu kes kematian bagi negeri Kedah, Melaka, Kelantan dan Sabah.
Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata keputusan ujian bagi makanan yang didakwa mengandungi serpihan kaca yang dimakan 7 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor akan siap selepas 3 minggu.
Minggu lepas, media melaporkan 7 murid itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Jumaat lepas termakan sarapan yang didakwa mengandungi serpihan kaca halus.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lepas turut berkongsi perasaan marah dan kecewa dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengetahui punca kejadian. – Bernama, 3 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments