Sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dikaji semula susulan kekerapan berlakunya ketirisan rahsia kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan muktamad pihak eksekutif.
"Kebiasaannya, peruntukan dalam suatu undang-undang akan dikaji apabila mencapai suatu tempoh masa tertentu.
"Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara merasakan sudah tiba masanya peruntukan berkenaan hukuman dalam OSA dikaji semula selaras dengan perkembangan semasa penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, serta kekerapan berlakunya ketirisan rahsia kerajaan pada masa kini," katanya.
Azalina berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan status kajian semula akta berkenaan yang bertujuan memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan dipelihara, serta bila ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen.
"Apa-apa cadangan pindaan kepada OSA adalah tertakluk kepada keputusan dasar yang diputuskan pihak eksekutif," kata Azalina.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu Sinchew Daily dalam satu temu bual eksklusif bulan lalu, beliau sedang menimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang membocorkan rahsia rasmi.
Katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu, pejabatnya mungkin mencadangkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan.
Beliau berkata, tindakan juga akan dikenakan terhadap wartawan yang didapati melindungi sumbernya atau enggan mendedahkannya.
Cadangan pindaan OSA beliau itu menerima kritikan dari kumpulan masyarakat sivil dan pembangkang, yang mendakwa ia hanya satu percubaan untuk menghukum pemberi maklumat. – 9 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments