Ahli Umno dipecat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dibebaskan sehari lebih awal selepas disiasat di atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan ditahan semula polis di luar mahkamah hari ini.
Sebaik sahaja dibebaskan dan keluar daripada mahkamah, sekumpulan polis sudah menunggu di situ dan menahan Khairuddin mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Beliau sekarang disiasat untuk kesalahan di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan," kata peguamnya Matthias Chang kepada The Malaysian Insider.
Seksyen 124K dan 124L masing-masing peruntukan mengenai mensabotaj dan cubaan untuk mensabotaj negara.
Chang berkata Khairuddin dibawa mengadap majistret di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada jam 4.30 petang untuk dibebaskan, selepas beliau pada mulanya ditahan reman untuk siasatan berhubung cubaan melakukan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, suatu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, Khairuddin dibawa ke Balai Polis Dang Wangi selepas dia ditahan di luar mahkamah.
Di bawah Sosma, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 29 hari.
Khairuddin yang juga bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan dituduh mensabotaj negara selepas beliau didapati membuat laporan polis kepada penyiasat di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau petang Jumaat lepas ditahan pihak polis di kediamannya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, hanya beberapa jam selepas beliau dan Chang dihalang ke luar negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mereka sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat pada pagi Jumaat itu untuk bertemu pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Pada Sabtu, majistret mengeluarkan perintah tahanan reman 6 hari ke atas beliau bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.
Perintah reman tamat esok.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, Khairuddin ditahan dan disoal siasat kerana beliau menggunakan saluran undang-undang asing untuk memberi tekanan kepada Malaysia berhubung isu 1MDB.
Khalid berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai mensabotaj negara dan mencabar sistem perundangan Malaysia.
Beliau juga berkata Khairuddin membuat laporan polis pada April mengenai isu 1MDB di Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasaan di sini perlu diberi masa untuk menjalankan siasatan mereka.
Khairuddin yang dipecat daripada Umno selepas diisytiharkan muflis, berkata di laman Facebook beliau pada Jumaat yang polis mahu menyoal siasatnya kerana beliau menyampaikan keterangan berkaitan skandal 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland.
Khairuddin menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos, menggesa mereka menyiasat aktiviti syarikat sarat hutang negara yang melibatkan bank di Switzerland dan bank antarabangsa.
Khairuddin menegaskan beliau hanya bertindak demi kepentingan negara, dan beliau mempunyai "locus standi" membuat laporan polis itu kepada pihak berkuasa Switzerland.
Tetapi, Putrajaya menuduh Khairuddin cuba membuat laporan polis "palsu dan bermotifkan politik" dan membawa agenda yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. – 23 September, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments