Tiada halangan bagi mana-mana jurucakap dalam Perhimpunan Agung Umno pada minggu lalu untuk disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 sekiranya jelas ucapan mereka berbaur perkauman, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, siasatan mengikut akta berkenaan tidak terhad kepada jurucakap Umno dalam perhimpunan itu saja malah kepada yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada bila-bila masa.
“Sekiranya ada unsur perkauman dalam ucapan seseorang individu itu, tidak kira semasa Perhimpunan Agung Umno atau bila-bila saja, mereka boleh disiasat,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Semalam, 5 laporan polis dibuat DAP terhadap Ketua Wanita Umno Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim berhubung kenyataannya menuduh orang Cina membakar Al-Quran dalam satu upacara sembahyang di Kedah.
Pemimpin Pemuda DAP Bryan Lew, salah seorang yang membuat laporan itu berkata, Mashitah harus memohon maaf kerana membuat kenyataan yang mencetuskan kebencian.
"Kami menuntut sekeras-kerasnya permohonan maaf beliau, kepada masyarakat Cina khususnya di Kedah, dan amnya di seluruh Malaysia," katanya memandangkan tuduhan tersebut sudah terbukti tidak benar.
Lew bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi bersama 4 lagi yang lain iaitu Setiausaha Pemuda DAP Edmund Teoh, Timbalan Pengerusi Wanita DAP Jessica Lew, Setiausaha Wanita DAP Leong Ooi Yee dan Setiausaha Organisasi Pemuda Lan Suet Ling.
Mashitah pada Perhimpunan Agung Umno Rabu lepas berkata, beliau dimaklumkan Ketua Wanita Umno Kuala Kedah Noor Hasita Mat Isa, yang orang Cina di Kuala Kedah membakar Al-Quran sehelai demi sehelai pada satu ritual sembahyang.
Teoh berkata bekas timbalan menteri itu harus disiasat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat, atas asas agama.
"Kami tidak mahu beliau disiasat mengikut Akta Hasutan kerana kami mahu akta itu dimansuhkan.
"Sangat tidak wajar beliau membuat kenyataan itu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa semua perwakilan Umno bersederhana di dalam perbahasan mereka.
"Nampaknya, perhimpunan yang baru berlangsung itu hanya satu lagi sesi menghentam orang bukan Melayu," kata Teoh. – 3 Disember, 2014.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments