Ahli Parlimen berhak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Bagaimanapun ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhak memutuskan sama ada usul undi tidak percaya boleh dilakukan atau tidak.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata, speaker mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana usul sekiranya tidak berada dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat di Parlimen.
“Pertamanya itu adalah hak kita sebagai ahli Parlimen untuk membawa usul undi tidak percaya kepada kerajaan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Tetapi juga kita diberitahu speaker berhak menolak apa sahaja jika ia tidak ada dalam aturan urusan mesyuarat,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pagi tadi.
“Jika awal-awal lagi sebarang usaha dikemukan tetapi tidak diluluskan speaker, tetapi ada cara lain, namun kita bincangkannya dalam forum yang lain,” kata bekas menteri kewangan itu.
Turut serta pada sidang media itu ialah timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bersama-sama mantan menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan mantan presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat.
Gesaan untuk melaksanakan usul undi tidak percaya terhadap Najib semakin memuncak, apabila demonstrasi turut diadakan menggesa peletakan beliau susulan skandal membabitkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
Selain gabungan blok pembangkang, gesaan itu turut dibuat pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0 yang turut melancarkan kempen undi tidak percaya terhadap Najib.
Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 berkata, kempen berkenaan akan memfokuskan kepada ahli Parlimen untuk mereka menyokong sebarang usul undi tidak percaya kepada Najib kerana beliau masih enggan memberikan penjelasan berhubung dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
"Pasca perhimpunan aman Bersih 4, rakyat Malaysia tidak boleh terus berdiam diri. Justeru, Bersih 2.0 berbesar hati melancarkan kempen ‘Undi Tidak Percaya’ terhadap Najib," kata Bersih 2.0. – 12 Oktober, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments