Bahasa

Ku Li tidak mahu dikaitkan dengan perkara mengarut ‎

Tengku Razaleigh Hamzah berkata terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana menandatangani Deklarasi Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016.	Tengku Razaleigh Hamzah berkata terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana menandatangani Deklarasi Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mac 2016. Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menolak untuk dikaitkan dengan sebarang tindakan yang berkemungkinan akan dikenakan Umno terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir susulan tindakan mereka menandatangani Deklarasi Rakyat minggu lalu. 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno sama ada parti Melayu itu ingin mengambil tindakan atau tidak terhadap kedua-dua mereka. 

"Jangan kaitkan saya dengan perkara mengarut ini," kata Ku Li, ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. 

Ahli MT Umno, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini mencadangkan agar Muhyiddin dan Mukhriz perlu disingkirkan daripada Umno kerana mereka bertindak melangkaui batas apabila menandatangani deklarasi tersebut. 

Beliau dilaporkan berkata, jalan terbaik adalah dengan menggugurkan Muhyiddin yang merupakan timbalan presiden Umno yang digantung dan bekas menteri besar Kedah itu daripada Umno atas tuduhan melanggar disiplin parti.

"Kami perlu berbincang semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang. Sudah tentu pendapat peribadi saya adalah untuk memastikan mereka keluar.

"Sama seperti bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyingkirkan 2 wakil rakyat yang tidak mengundi resolusi menentang Umno di Dewan Undangan Negeri. Kami akan mengikuti gaya mereka," katanya.

Nazri sebelum ini berkata beliau tidak bersetuju supaya Muhyiddin dipecat daripada parti tetapi kini katanya bekas timbalan perdana menteri itu perlu disingkirkan.

"Sebelum ini beliau mengkritik dalam lingkungan parti...tapi sekarang beliau sudah melampaui batas, duduk dengan pembangkang," katanya. 

Ku Li berkata, beliau tidak mempunyai kena mengena dengan isu tersebut. 

"Terpulang kepada beliau (Nazri), terpulang kepada MT. Tiada kaitan dengan saya," katanya. 

Ku Li sebelum ini turut bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan isu dakwaan skandal melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. 

Dr Mahathir minggu lepas bersama-sama pemimpin pembangkang dan kumpulan sivil menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri. – 8 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments