Universiti di Malaysia digesa menghentikan penggunaan tindakan disiplin untuk menghalang mahasiswa bersuara dan mengehadkan perdebatan, kata kumpulan hak asasi berpangkalan di New York Human Rights Watch (HRW) susulan kes 6 pelajar didapati bersalah kerana mengadakan sidang media tanpa kebenaran.
Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson berkata, universiti sepatutnya menjadi medan untuk perbincangan terbuka dan perdebatan.
"Pelajar tidak wajar didenda kerana bersuara secara aman di bawah penguatkuasaan disiplin universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Enam pelajar tersebut itu yang dikenali sebagai UM6, mengadakan sidang media pada Disember lepas membantah rancangan universiti untuk mengenakan kuota Internet dalam kampus.
Sesi pendengaran disiplin menyebabkan mereka diberi amaran pihak universiti.
Robertson berkata, pihak Universiti Malaya (UM) berulang kali menghalang pelajarnya daripada bersuara membabitkan isu kepentingan awam, tidak membenarkan pembesar suara di universiti dan menghalang perhimpunan pelajar.
Beliau berkata, universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam kampus secara meluas supaya pelajar patuh kepada undang-undang itu.
AUKU menghalang mahasiswa terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus atau menyatakan sokongan secara terbuka kepada mana-mana organisasi yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi.
Robertson berkata, tindakan UM dengan menggunakan alasan tatatertib ini sebaliknya hanya akan memudaratkan universiti tersebut.
Beliau mencadangkan universiti di Malaysia perlu menerima pandangan pelajar dan bukan mengenakan pelbagai sekatan terhadap mereka.
"Universiti di Malaysia perlu meraikan penglibatan sivik pelajar mereka dan bukannya menindas mereka.
"Sekatan dalam AUKU dan undang-undang disiplin bertentangan dengan semangat kebebasan akademik, melanggar prinsip kebebasan bersuara serta berhimpun dan harus dimansuhkan," katanya.
Ini kali kedua sekumpulan pelajar UM didenda, selepas 8 pelajar yang dikenali sebagai "UM8" didapati bersalah pada Disember 2014 kerana menjemput bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berucap. – 22 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments