Tindakan perlu diambil terhadap premis makanan yang mengelirukan umat Islam dengan mempamerkan tanda "tiada babi" seolah-olah makanan yang disediakan di premis tersebut berstatus halal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata hanya premis makanan yang mempamerkan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikunjungi pengguna beragama Islam.
"Pengusaha makanan yang meletakkan tanda tiada babi di premis mereka tidak mencerminkan apa yang dimaksudkan dengan halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar budaya dan sambutan Tahun Baharu Cina untuk mualaf di Kepong, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pengusaha premis makanan yang mengelirukan masyarakat Islam dengan meletakkan tanda "tiada babi."
Justeru, adalah perlu untuk mendidik masyarakat terutama pengguna beragama Islam, untuk membezakan antara logo halal yang sah dan tanda "tiada babi", katanya.
"Umat Islam harus sentiasa peka kepada kehendak Undang-undang syariah apabila membabitkan soal makanan. Meletakkan tanda tiada babi tidak bermakna ia adalah halal," katanya.
Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) melarang premis makanan di negeri itu daripada meletakkan tanda "tiada babi" di premis mereka untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam. – Bernama, 14 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments