Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak keputusan Putrajaya yang membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh untuk tempoh 3 tahun kerana bakal memberikan kesan kepada pekerja separa mahir tempatan.
Setiausaha Agung MTUC N Gopal Krishnam berkata, lebih baik pekerja separa mahir itu diberikan latihan secukupnya di samping gaji yang setimpal untuk diserapkan ke dalam sektor kerja separa mahir ini.
Beliau berkata, sektor-sektor berkenaan kurang diminati penduduk tempatan kerana kadar gaji yang rendah dan masa kerja yang panjang.
"Beribu-ribu pekerja dari Malaysia merantau ke Singapura setiap hari bagi menyara hidup. Kenapa?
"Siapakah yang banyak melakukan kerja-kerja separa mahir ini di Singapura?" soalnya, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun mereka bekerja dalam bidang separa mahir, disebabkan imbuhan yang dibayar adalah tinggi dan setaraf dengan kerja tersebut, maka mereka sanggup berulang-alik ke negara jiran.
"Mereka ini bukan sahaja profesional, malah juga terdiri daripada golongan yang terkandas dalam pelajaran dan pekerja am," katanya.
Beliau berkata, Putrajaya seharusnya menghadkan kemasukan pekerja asing bagi mencapai status negara maju.
"MTUC merasakan sekiranya kerajaan serius dengan pengiktirafan mencapai negara berstatus pendapatan tinggi, maka ia harus menghadkan pekerja asing di tempat kerja, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, iaitu pengurangan pekerja asing ke paras 15%.
"Tetapi berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku, MTUC kurang yakin hasrat tersebut boleh dicapai," katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini lebih kurang 7 juta pekerja asing berada di negara ini dengan hanya 2.1 juta sahaja yang memiliki dokumen sah.
"Kementerian harus menjalankan kajian serta analisa yang mendalam berkaitan pemecatan, pengangguran dan keperluan pasaran tenaga kerja bagi membolehkan kerajaan menghadkan pengambilan pekerja asing secara beransur-ansur," katanya.
MTUC juga melihat pengumuman kerajaan ini menunjukkan seolah-olah berhasrat mengecualikan mereka dari Perintah Gaji Minimum.
"MTUC membantah sama sekali tindakan diskriminasi ini.
"Negara tidak harus bergantung kepada sumber tenaga kerja dari negara asing. Keadaan ini sudah tentu akan memudaratkan ekonomi tempatan dan memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan," katanya.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini dilaporkan menyokong cadangan kemasukan 1.5 juta pekerja asing Bangladesh ke negara ini kerana mereka boleh mengisi sektor yang kurang diminati pekerja tempatan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, naib presidennya Mohd Yusuf Abdul Rahman berkata, kemasukan itu perlu seiring dengan pemantauan dan pengurusan sumber manusia.
"Antara sektor yang memerlukan pekerja asing adalah seperti sektor pembinaan dan pembersihan yang tidak diminati pekerja tempatan," beliau dipetik berkata akhbar milik Umno itu.
Bagaimanapun, Yusuf mengingatkan kerajaan agar berhati-hati dan melihat semula senario pekerjaan di negara ini bagi memastikan tidak berlaku lambakan pekerja asing. – 11 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments