Bahasa

Lebih 400 peserta berhimpun bantah penggantungan akhbar The Edge

Sebahagian peserta Perhimpunan #808 di Pasar Seni yang berjalan kaki ke ibu pejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur, hari ini. Mereka berkumpul bagi menunjukkan bantahan terhadap penggantungan 2 akhbar perniagaan The Edge. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 8 Ogos, 2015.Sebahagian peserta Perhimpunan #808 di Pasar Seni yang berjalan kaki ke ibu pejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur, hari ini. Mereka berkumpul bagi menunjukkan bantahan terhadap penggantungan 2 akhbar perniagaan The Edge. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 8 Ogos, 2015.Kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada petugas media, peguam, aktivis sosial dan masyarakat umum berkumpul di hadapan dataran Majlis Peguam di Kuala Lumpur pagi ini bagi menunjukkan bantahan terhadap penggantungan 2 akhbar perniagaan The Edge.

Antara personaliti yang dilihat memberi sokongan ialah bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengarah Eksekutif Lawyer for Liberty Eric Paulsen dan ratusan petugas media lain.

Perarakan yang diketuai Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar itu melaungkan "Bebas Media", "Jangan Takut Lapor 1MDB" dan sebagainya.

Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut mendesak Putrajaya agar segera mengembalikan permit akhbar perniagaan itu yang digantung Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama 3 bulan baru-baru ini.

"The Edge majalah berwibawa, bawa pencerahan kepada seluruh rakyat.

"Segera bebaskan The Edge agar demokrasi pulih kembali," katanya apabila ditemui pemberita.

Turut kelihatan berhimpun pada hari ini ialah bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, penganalisis politik Dr Wong Chin Huat, pemimpin DAP Gobind Singh Deo, Tony Pua dan Liew Chin Tong.

Peserta yang berhimpun membawa plakad tertulis: “Media bukan musuh”, “Defend freedom of information”, “Asking question about 1MDB not a crime”, “Hentikan penindasan terhadap media, “Journalism is not a crime” dan “I will not be silenced”.

Saifuddin dalam ucapannya berkata himpunan pada hari ini adalah sebagai solidariti kepada akhbar The Edge dan portal Sarawak Report yang tertindas semata-mata untuk menyampaikan kebenaran dan keadilan.

Katanya, himpunan pada hari ini juga bagi menegakkan prinsip demokrasi dan kebebasan media yang selama ini dibimbangi kerajaan jika terus menyampaikan kebenaran. 

“Hari ini kita berhimpun untuk menyatakan solidariti kita dengan The Edge, Financial Daily dan Sarawak Report. Kita berhimpun untuk menyatakan solidariti kita dengan kawan-kawan yang ditindas hanya kerana menulis untuk kebenaran dan keadilan.

“Mengapa mereka gantung The Edge 3 bulan dan menyekat Sarawak Report? Adakah kerana mereka gusar, gundah gulana, lalu merasa takut dengan kebenaran maka mereka gantung?” soalnya.

Bekas ahli Parlimen Temerloh itu berkata, penulis tidak seharusnya dimusuhi kerana mereka melakukan kerja dengan tenang dan aman.

“Adakah penulis ganas? Adakah mereka tak berpelembagaan? Kita berhimpun hari ini dengan aman.

"Penulis orang paling aman dalam dunia sebab duduk dekat meja saja. Tak pergi mana-mana. Menulis dengan aman. Kita tak akan melakukan sesuatu yang melanggar perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Ambiga berkata rakyat perlu menyokong kebebasan media yang menyampaikan kebenaran dan penindasan terhadap organisasi media perlu segera diakhiri.

Katanya, ekoran penindasan terhadap The Edge dan Sarawak Report maka rakyat berhimpun pada hari ini sebagai menyatakan bantahan terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri itu.

“Marilah kita tidak melupakan saat ini. Ia sepertinya salah guna kuasa. Kita mesti tidak akan kembali kepada detik hitam yang kita hadapi sekarang.

“Kita hari ini untuk raikan The Edge, Sarawak Report dan mereka yang menderita ekoran serangan terhadap media. Kita meraikan The Edge membuat perkara betul. Jika The Edge dan Sarawak Report tak melakukan perkara betul, kita mungkin tak ada di sini.

“Kamu mungkin boleh gantung The Edge, kamu mungkin boleh gantung Sarawak Report tetapi kamu tidak akan dapat menggantung kebenaran,” katanya yang mengenakan pakaian serba hitam hari ini.

Himpunan yang berlangsung secara aman itu tamat kira-kira sejam kemudian tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. – 8 Ogos, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments