Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Umno kini bukan lagi berdepan PAS dalam membuktikan siapa lebih Islam, tetapi sebaliknya mereka berdepan lanskap ideologi politik baharu liberalisme.
Timbalan presiden Umno itu berkata, jika isu tersebut tidak ditangani segera, umat Islam dan Melayu yang merupakan majoriti rakyat Malaysia akan dirempuh arus fahaman tersebut.
"Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.
"Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng akidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme," kata Muhyiddin semasa merasmikan pembukaan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno malam ini.
Muhyiddin berkata, PAS kini bukan lagi ancaman kepada mereka seperti dahulu tetapi sebaliknya liberalisme adalah musuh baharu yang perlu dihadapi.
"Dalam konteks perjuangan Umno, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini.
"Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam," katanya.
"Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam."
Muhyiddin berkata, Islam berdepan ancaman hebat daripada fahaman tersebut kerana penghinaan secara terbuka kepada umat Islam.
"Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi.
"Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka," katanya.
Menyifatkan liberalisme sebagai bertentangan dengan syariat Islam, Muhyiddin berkata ideologi itu cuba membawa usaha songsang seperti perkahwinan sejenis.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar syariat.
"Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama lain," kata Muhyiddin.
Menurut Muhyiddin, dalam usaha menangani isu liberalisme, beliau menyeru supaya konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dihayati, di mana tidak dilihat terlalu ekstrem tapi pada masa sama membela Islam daripada dipengaruhi ideologi liberalisme.
"Sebab itulah, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang Umno bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.
"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa
ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme," katanya.
Dalam menghadapi bentuk cabaran tersebut, Muhyiddin menggesa langkah menanganinya dilakukan secara matang dan tidak mengikut emosi.
"Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme.
"Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi," katanya. – 25 November, 2014.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments