Bahasa

Lombong bauksit mungkin dibangunkan sebagai kawasan industri

Rancangan membangunkan bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan sebagai kawasan industri merupakan alternatif yang dipertimbangkan bagi membantu peneroka selepas aktiviti perlombongan selesai, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang Datuk Abu Bakar Harun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2016.Rancangan membangunkan bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan sebagai kawasan industri merupakan alternatif yang dipertimbangkan bagi membantu peneroka selepas aktiviti perlombongan selesai, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang Datuk Abu Bakar Harun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2016.Bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan mungkin dibangunkan sebagai kawasan industri jika tanah di situ tidak lagi sesuai untuk tanaman kelapa sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang Datuk Abu Bakar Harun berkata rancangan itu merupakan alternatif yang dipertimbangkan bagi membantu peneroka selepas aktiviti perlombongan selesai.

"Jika sesuai untuk kawasan industri, kita mungkin buat usaha sama dengan tuan tanah berserta persetujuan kerajaan negeri dan Felda bagi memastikan peneroka mendapat manfaat, jika tanah itu tidak sesuai untuk tanam semula," katanya.

Abu Bakar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat (CSR) Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di pusat jagaan kucing D'Kucing Valley Hajah Maimudah di Felda Chini 4 di Pekan, hari ini.

Ditanya mengenai pendapat beberapa profesor sebelum ini yang mendakwa lombong bauksit tidak sesuai dimajukan ekoran struktur tanahnya diganggu, Abu Bakar menjelaskan perkara itu akan diserahkan kepada pemaju.

"Mereka (pemaju) tahu apa yang perlu dibuat. Jika tidak, apa kita nak buat pada tanah itu? Kalau peneroka ada deposit tanam semula dan dapat kontraktor bertanggungjawab yang boleh kambus semula tanah (selepas mengorek bauksit), ia boleh digunakan tanam sawit.

"Tapi ada juga kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Lepas korek (bauksit), terus lari dan tidak beri deposit. Ini menimbulkan masalah pada tuan tanah. Kita ambil maklum dan cuba untuk bantu mereka... bukan kita berdiam diri," katanya.

Abu Bakar berkata setakat ini, seramai 205 peneroka daripada 600 peneroka terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit melibatkan keluasan tanah sebanyak 2,050 ekar.

Menurutnya kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob akan mengadakan perjumpaan dengan peneroka terlibat sebelum tamatnya tempoh moratorium pada 15 April ini bagi menerangkan situasi sebenar kepada mereka.

"Perjumpaan itu juga melibatkan peneroka yang tidak terbabit dengan perlombongan bauksit kerana pandangan semua pihak diperlukan bagi memastikan tiada masalah berbangkit, jika kebenaran melombong bahan galian itu diberikan semula," katanya.

Mengenai penubuhan pusat jagaan kucing itu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini memuji usaha murni pemiliknya Maslina Omar, 39, yang sanggup mengeluarkan kos tinggi demi kucing.

"Bukan senang untuk wujudkan pusat jagaan kucing. Jika dikomersialkan, pusat ini boleh menjadi produk pelancongan Chini dan mengembangkan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, Maslina berkata beliau menyasarkan kehadiran 1,000 orang bagi tahun ini, dan mereka dibenarkan untuk bermain dengan 50 ekor kucing yang kebanyakannya jenis kucing kampung. – Bernama, 3 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments