Persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sarawak sia-sia apabila Mahkamah Tinggi Kucing mengarahkan mereka agar menerbitkan semula notis persempadanan kawasan pilihan raya negeri itu.
Perintah ini bermakna SPR perlu melakukan semula proses persempadanan pilihan raya bagi Sarawak, bermula dari awal.
Mahkamah tersebut pada petang ini mengarahkan SPR agar menerbitkan notis tersebut selaras dengan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Yew Jen Kie dalam penghakiman ke atas semakan semula yang difailkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How dan seorang pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya bersetuju dengan bantahan See bahawa notis bertarikh 5 Januari yang dikeluarkan SPR buat mereka yang terkesan daripada persempadanan itu tidak mengandungi butir yang mencukupi.
Menurut Yew, adalah mustahak bagi SPR untuk menerbitkan daftar pengundi itu, senarai cadangan perubahan dan kawasan yang bakal menerima kesan agar pengundi tahu bagaimana mereka akan terlibat dalam persempadanan semula itu.
Kegagalan SPR berbuat demikian katanya, mencabuli peruntukan yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
SPR menurut See bertindak terdesak pagi ini apabila memfailkan kenyataan bantahan memohon agar mahkamah mengisytiharkan semakan kehakiman tersebut sebagai akademik kerana persempadanan semula sudah disempurnakan.
Timbalan Pengarah SPR Sarawak Suraini Saruji dalam afidavitnya berkata, pendengaran tempatan sudah diselesaikan dan SPR kini sedang menyiapkan laporan untuk dihantar kepada perdana menteri dan Parlimen.
Peguam cara kanan Persekutuan yang mewakili SPR, Azizan Mohd Arshad berkata tarikh persempadanan semula itu akan berlangsung semula bergantung kepada sama ada SPR akan merayu keputusan ini.
Menurutnya, keputusan tersebut terletak di tangan peguam negara.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya perlu meneliti dahulu keputusan hari ini sebelum mengumumkan langkah seterusnya.
"SPR akan mengkaji keputusan mahkamah itu dengan teliti dan satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenainya," katanya.
SPR mempunyai masa selama 2 tahun bermula dari tarikh Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan peningkatan sebanyak 11 kerusi negeri pada tahun lepas untuk menyelesaikan persempadanan semula.
See yang memfailkan semakan kehakiman sebelum ini gembira dengan keputusan itu.
"Sekurang-kurangnya saya menyumbang kepada menjadikan seluruh proses ini telus," kata timbalan pengerusi PKR Sarawak itu.
Dalam permohonan semakan kehakiman sebelum ini, See dan Baya berhujah SPR "meringkaskan, menghalang dan/atau menempangkan hak mereka untuk mendapat notis tentang kesan cadangan SPR dan bertindak secara silap dan mencabuli peruntukan Perlembagaan Persekutuan".
See dan Baya memohon semakan kehakiman itu pada 2 Februari dan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan secara sebelah pihak itu pada 17 Februari.
Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan notis SPR dalam dua akhbar negeri, dua akhbar nasional, dan satu akhbar sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan kerana akhbar tersebut tidak diedarkan dalam konstituensi yang terlibat dalam persempadanan semula itu.
Hakim Yew bersetuju dengan hujah yang dikemukakan See dan Baya. – 15 Mei, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments