Bahasa

Keputusan jika mahkamah sivil boleh dengar kes jagaan anak mualaf esok

Kes yang akan diputuskan esok melibatkan S Deepa, yang memfailkan hak penjagaan anak selepas bekas suaminya, Izwan Abdullah, menukar agama 2 anak kepada Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Februari, 2016.Kes yang akan diputuskan esok melibatkan S Deepa, yang memfailkan hak penjagaan anak selepas bekas suaminya, Izwan Abdullah, menukar agama 2 anak kepada Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Februari, 2016.Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok (Rabu, 10 Februari) berhubung pertikaian hak penjagaan anak yang dimulakan ibu Hindu selepas bekas suaminya menukar agama 2 anak kecil mereka kepada Islam.

Keputusan mahkamah tertinggi itu dijangka menarik minat orang ramai termasuk pengamal undang-undang kerana ia akan memberi kesan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, dalam kes sama melibatkan M. Indira Gandhi, yang perkara berhubung penukaran agama mesti didengar di Mahkamah Syariah.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili mualaf Izwan Abdullah, berkata Mahkamah Persekutuan memaklumkan mengenai tarikh penghakiman awal minggu ini.

"Kedua-dua ibu bapa perlu membawa bersama kanak-kanak di bawah jagaan mereka seperti diarahkan mahkamah sebelum ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kes yang akan diputuskan itu melibatkan S Deepa, yang memfailkan hak penjagaan anak selepas bekas suaminya, Izwan, menukar agama Sharmila (Nurul Nabila), kini berusia 11 tahun dan Mithran (Nabil), 8, kepada Islam.

Panel 5 hakim diketuai Tan Sri Md Raus Sharif, yang juga presiden Mahkamah Rayuan, mendengar penghujahan daripada peguam Deepa dan Izwan pada 25 Jun tahun lepas.

Haniff berhujah mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar pertikaian hak penjagaan itu.

Beliau memberitahu panel hakim, Akta Penjagaan Budak 1961 melarang mahkamah sivil daripada membuat perintah jagaan kerana ia melibatkan kanak-kanak beragama Islam.

Beliau juga berkata Seksyen 51 (2) Akta Memperbaharui Undang-undang 1976 hanya membenarkan mahkamah sivil mengeluarkan perintah hak penjagaan terhadap kanak-kanak bukan Islam apabila petisyen perceraian difailkan disebabkan penukaran agama kepada Islam oleh salah seorang pasangan.

"Mahkamah sivil (Mahkamah Tinggi) tidak boleh membuat keputusan mengenai isu hak penjagaan kerana Izwan menukarkan agama anak mereka kepada Islam," katanya dalam rayuan yang dikemukakan Izwan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 berhubung pemberian hak penjagaan anak-anak kepada Deepa.

Haniff berkata, tidak seperti Indira, Deepa tidak mencabar status penukaran agama itu.

Bagaimanapun, peguam Fahri Azzat yang mewakili Deepa, memberitahu Mahkamah Persekutuan yang Akta Penjagaan Bayi hanya terpakai jika ibu bapa kanak-kanak mati, namun ia tidak berlaku dalam kes ini.

"Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa kerana perkahwinan Deepa dan Viran (kini Izwan) didaftarkan di bawah undang-undang sivil," katanya.

Fahri berkata walaupun Izwan adalah seorang Islam, dia boleh mengemukakan kepada mahkamah sivil untuk menyelesaikan semua isu-isu perkahwinan dengan Deepa kerana perkahwinan didaftarkan secara sivil ditadbir di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian).

Peguam itu berkata, mahkamah syariah adalah tribunal yang lebih rendah dan Mahkamah Tinggi mempunyai peranan penyelia ke atas mana-mana mahkamah agama yang bertindak di luar bidang kuasanya.

Pada 7 April, 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan 2 anak pasangan itu kepada Deepa.

Keputusan itu mengatasi perintah Mahkamah Syariah pada April 2012 yang memberikan hak penjagaan kepada Izwan.

Tetapi, 2 hari kemudian, Izwan menculik Mithran dari rumah Deepa di Jelebu dan menjaganya sejak itu.

Deepa kemudian mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi pada 21 Mei 2014 bagi memerintahkan polis mencari Izwan dan Mithran.

Pada 17 Disember 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan anak-anak kepada Deepa. – 9 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments