Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dibebaskan buat kali ke-2 dalam kes hasutan kerana mengaitkan Umno dengan pencerobohan pemberontak Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Nordin Hassan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Chua pada 2014 selepas mendapati tiada bukti untuk mengatakan ahli Parlimen Batu itu mengeluarkan kenyataan menghasut.
"Rayuan pihak pendakwaan dalam kes ini ditolak. Pembebasan tertuduh dikekalkan," kata Hakim.
Pada 14 November 2014, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan Chua yang dikenali sebagai Tian Chua berhubung kenyataannya mengaitkan Umno dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.
Hakim Norsharidah Awang berkata, kenyataan Chua yang disiarkan portal Keadilan Daily pada 2013 sudah ditokok tambah dan tidak menggambarkan maksudnya untuk berkata demikian.
"Berdasarkan alasan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes berkenaan.
"Tiada keterangan lain dikemukakan pihak pendakwaan. Tulisan (wartawan yang mencatat) tidak dapat dibaca," katanya semasa membaca penghakimannya hari ini.
Chua pada 2 September 2014 mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan, denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ahli parlimen Batu itu pada Mac 2013 mendakwa tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Katanya, insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno.
Kenyataan Chua itu disiarkan Keadilan Daily berdasarkan satu perbualan telefon dengan wartawan portal berkenaan, Siti Nooraishah Geoffery. – 2 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments