Majikan yang didapati tidak mendaftarkan pekerja asing tanpa izin (Pati) dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati akan didakwa di mahkamah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap majikan jika mereka ditahan pihak penguatkuasa.
"Dalam program ini, jika majikan tidak mendaftar pekerjanya, dan Jabatan Imigresen membuat penguatkuasaan dan tangkap mereka (majikan), kita terus akan mendakwa mereka di mahkamah.
"Tiada lagi kompaun dikenakan, malah majikan yang tidak bertanggungjawab itu akan diheret terus ke muka pengadilan dan akan dikenakan hukuman penjara jika ada keperluan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga menasihatkan majikan supaya tidak menunggu di saat-saat akhir untuk mendaftar pekerja mereka.
"Daftar secepat mungkin, yang penting mereka (majikan) akan terlepas daripada apa-apa tanggungjawab sekiranya pihak berkuasa membuat penguatkuasaan," katanya dan menambah setakat ini, lebih 2,000 majikan dan 12,000 Pati mendaftar dalam program berkenaan.
Program yang dilaksanakan secara dalam talian itu bertujuan memberi peluang kepada Pati yang bekerja secara haram di negara ini mendapatkan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Imigresen supaya melancarkan operasi menyerbu pusat membeli-belah yang dibanjiri Pati khasnya premis peruncitan dan restoran di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Menyentuh mengenai majikan yang bertindak menganiaya pekerjanya, Nur Jazlan berkata mereka (majikan) akan dikenakan tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Misalnya, kalau majikan membuat perjanjian untuk membayar gaji dan tidak memenuhi syarat yang menyebabkan pekerja asing melarikan diri, mereka (majikan) boleh didakwa mengikut ATIPSOM 2007. Terdapat klausa tertentu yang membolehkan majikan didakwa," katanya. – Bernama, 9 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments