Bahasa

Majlis antara agama gesa kuil, gereja buka pintu kepada peserta Bersih 4

Majlis kebangsaan antara agama akan membuka semua rumah ibadat kepada peserta Bersih 4 kerana menganggap ia sebagai perhimpunan memperjuangkan hak dan bukan menentang kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Ogos, 2015. Majlis kebangsaan antara agama akan membuka semua rumah ibadat kepada peserta Bersih 4 kerana menganggap ia sebagai perhimpunan memperjuangkan hak dan bukan menentang kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Ogos, 2015. Majlis kebangsaan antara agama akan membuat rayuan kepada semua rumah ibadat di sekitar ibu kota untuk membuka pintu mereka kepada peserta perhimpunan hujung minggu ini, walaupun Putrajaya mengisytiharkan Bersih 4 sebagai perhimpunan haram dan menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menghadiri protes semalaman itu.

Dalam menyatakan sokongan mereka terhadap Bersih 4, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menegaskan ia merupakan satu perhimpunan "memperjuangkan hak", bukan soal menentang kerajaan.

Pemangku presidennya Datuk RS Mohan Shan berkata demikian selepas beliau dimaklumkan 3 gereja Katolik menawarkan kawasan mereka sebagai "tempat perlindungan" untuk peserta.

"Kami akan meminta kuil di kawasan bandar raya membuka pintu mereka kepada peserta untuk berehat dan menggunakan tandas.

"Ini adalah perhimpunan yang memperjuangkan hak, bukan tentang menjatuhkan kerajaan, jadi tidak salah untuk rumah ibadat membuka pintu mereka kepada peserta perhimpunan," kata Mohan kepada The Malaysian Insider.

Ketika mengesahkan 3 gereja Katolik akan membuka pintu kepada peserta perhimpunan, Ketua Bishop Kuala Lumpur Julian Leow (gambar, kiri) berkata, rumah ibadat bukan sahaja tempat untuk bersembahyang, tetapi juga tempat untuk melepaskan lelah dan memberi perlindungan kepada yang memerlukan.

"Atas semangat belas kasihan ini, gereja Katolik membuat keputusan membenarkan Gereja St John di Bukit Nanas, Gereja St Anthony di Pudu dan Gereja Our Lady of Fatima di Brickfields dijadikan tempat perlindungan semasa perhimpunan Bersih 4," katanya.

Beliau berkata, Gereja Katolik tidak terlibat dengan mana-mana parti politik tetapi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara, penganut agama Kristian sentiasa berdoa demi negara dan pemimpinnya.

Perhimpunan yang dianjurkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu dikenali sebagai Bersih 4 kerana ia kali ke-4 diadakan di Malaysia. Perhimpunan sebelum ini hanya berlangsung di Kuala Lumpur, tetapi kali ini ia turut akan diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu.

Perhimpunan di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung selama 34 jam bermula petang Sabtu bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya, tadbir urus, kebebasan untuk membantah, demokrasi berparlimen dan ekonomi.

Peguam dan pihak polis berselisih faham tentang keabsahan perhimpunan itu – pihak berkuasa tidak membenarkan Bersih 4 diteruskan tetapi peguam perlembagaan berkata peserta tidak akan melanggar sebarang undang-undang selagi mereka berhimpun secara aman dan mengelakkan sebarang gangguan awam yang serius.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sebelum ini berkata, datuk bandar Kuala Lumpur memberitahu gabungan itu yang tiada kebenaran diperlukan kerana perhimpunan itu tidak akan diadakan di Dataran Merdeka itu yang merupakan tempat sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau juga berkata perhimpunan Bersih 4 tidak berniat untuk mengganggu persiapan sambutan Hari Kebangsaan sebaliknya akan berkumpul di tepi jalan berdekatan dataran.

Bagaimanapun, semalam Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, Bersih 4 mampu menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

"Kementerian sudah menyiasat Bersih 4 dan mendapati ia bukan pertubuhan berdaftar.

"Oleh itu, kementerian meminta orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dijadualkan pada 29 hingga 30 Ogos itu yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan dianjurkan sebuah organisasi yang tidak berdaftar," katanya.

Mengulas kenyataan Alwi itu, Maria mendakwa Putrajaya cuba mengelirukan orang ramai dengan mengisytiharkan perhimpunan Bersih 4 hujung minggu ini sebagai sebuah "pertubuhan haram".

Beliau berkata, Bersih 4, sama seperti 3 perhimpunan sebelum ini adalah satu acara.

"Bersih 4 adalah acara, bagaimana anda mentafsirkan ia sebagai haram? Saya fikir mereka sudah salah faham. Adakah mereka mengatakan kita perlu mendaftar dengan kerajaan untuk setiap acara yang kita mahu lakukan?

"Mereka cuba untuk mengelirukan keadaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menyentuh mengenai sokongan acara tersebut setakat ini, beliau berkata sejak pengumuman Bersih 4 dan permohonan memungut derma, mereka berjaya mengumpulkan sebanyak lebih RM1.5 juta.

"Oleh kerana sokongan yang amat menggalakkan, kami kini mempunyai lebih daripada dana yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan Bersih 4.

"Kami terharu dengan sokongan ditunjukkan rakyat terhadap tindakan Bersih 2.0 bagi melancarkan reformasi di Malaysia," kata Maria sambil menambah baki dana itu akan digunakan untuk aktiviti dalam usaha berterusan mereka menuntut reformasi pilihan raya. – 26 Ogos, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments