Bahasa

Malaysia, Indonesia perlu kembangkan bahasa, kata Rais

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Rais Yatim menerima Anugerah Mahaputra Antara yang dianugerahkan agensi berita Indonesia, Antara hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Disember, 2015.Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Rais Yatim menerima Anugerah Mahaputra Antara yang dianugerahkan agensi berita Indonesia, Antara hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Disember, 2015.Indonesia dan Malaysia perlu bersama-sama membetulkan hala tuju pengembangan bahasa Melayu dan Indonesia supaya menjadi bahasa peringkat global, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Rais Yatim.

Beliau berkata dengan usaha bersama itu, sekali gus kedua-dua buah negara dapat memelihara keaslian bahasa agar tidak hilang diresapi bahasa Inggeris.

Rais berkata cabaran bahasa di kedua-dua buah negara sekarang ialah masalah penyerapan bahasa Inggeris sehingga keindahannya dirosakkan menyebabkan sifat asalnya berubah.

"Apabila bahasa Inggeris masuk secara keterlaluan, maka sifat bahasa Melayu dan Indonesia itu akan berubah terus. Suatu hari nanti jika kita tidak memperbetulkan arah tuju bahasa kita, maka kita akan kehilangan keasliannya.

Jika ini berlaku, bangsa kita tidak lagi dikenali melalui bahasa," katanya kepada pemberita hari ini.

Rais berkata demikian ketika berucap selepas menerima Anugerah Mahaputra Antara yang dianugerahkan agensi berita Indonesia, Antara hari ini.

Anugerah itu yang tertinggi diberikan Antara sebagai penghargaan kepada individu yang menyumbang jasa bakti dalam bidang kemajuan bahasa dan kewartawanan.

Rais berkata bahasa Inggeris menguasai bahasa ilmu di kedua-dua negara dan ia sesuatu yang membimbangkan kerana bahasa Melayu dan Indonesia juga mempunyai istilah bahasa dalam segala bidang ilmu.

"Sehubungan itu, kita perlu menyaingi keadaan ini agar suatu hari nanti bahasa Melayu dan bahasa Indonesia akan menjadi bahasa ilmu sebagaimana bahasa Inggeris pada masa ini," katanya.

Beliau berkata adalah sesuatu yang dikesali kerana terdapat pihak yang bersikap pasif mengenai kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dengan alasan bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu di peringkat global.

Katanya, jika negara China dan Jepun yang tetap menggunakan bahasa ibunda dalam mempelajari pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi maka tidak ada sebab bahasa Melayu tidak boleh mencapai tahap itu jika golongan penggiat bahasa Melayu dan Indonesia bergabung tenaga untuk mengembangkan bahasa.

Sementara itu, Direktur Utama Antara Saiful Hadi berkata pihaknya memilih Rais sebagai penerima kerana jasa dan usahanya untuk mengembangkan bahasa Melayu dan Indonesia di peringkat dunia.

"Usaha yang dilakukan Tan Sri Rais adalah sesuatu yang luar biasa malah tiada sesiapapun di rantau ini mengambil inisiatif seperti yang dilakukannya," kata beliau.  – Bernama, 17 Disember, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments