Malaysia tidak akan bersendirian dalam menangani isu China melakukan pembangunan dan meletakkan aset mereka di Laut China Selatan khususnya di Kepulauan Spratly, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, beliau akan berjumpa Menteri Pertahanan Australia, minggu depan, untuk berkongsi maklumat bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Beliau juga akan berjumpa wakil-wakil pimpinan dari negara jiran iaitu Vietnam dan Filipina bagi mendapatkan sokongan dalam mengekang kuasa besar.
"Perbincangan dengan negara-negara itu amat penting dalam memastikan Malaysia tidak bersendirian untuk menghalang tindakan agresif... sekiranya benar, meningkatnya aset ketenteraan di pulau itu.
"Walau bagaimanapun, kementerian saya tidak akan terlibat dalam operasi ketenteraan di kepulauan berkenaan bagi mengelak konflik geopolitik antara negara dan kuasa-kuasa besar," katanya selepas menyampaikan ucaptama Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia di Maktab Turus Angkatan Tentera di Dewan Hikmat, Jalan Padang Tembak, di Kuala Lumpur hari ini.
"Bagi saya penting, 2 perkara yang berasingan ditangani secara langsung dengan kuasa-kuasa besar dalam konteks Laut China Selatan. Penting untuk kita tengok dari saluran diplomasi tuntutan bertindih di kepulauan tertentu, dan ini di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab Wisma Putra," kata Hishammuddin.
Kepulauan Spratly terdiri daripada lebih 100 pulau kecil atau terumbu di tengah-tengah Laut China Selatan, berhampiran Malaysia, Filipina, Vietnam, China dan Brunei.
Ia menjadi rebutan semua negara berkenaan yang mempertahankan tuntutan masing-masing ke atas kepulauan itu, yang dikatakan berada di atas pentas benua dan mengandungi petroleum serta gas asli.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada dua anggota tentera yang maut apabila trak yang dinaiki mereka terbabas di tepi jalan di Jalan Ranau-Telupid, semalam.
"Saya telah minta timbalan saya Datuk Johari Baharom untuk menziarahi keluarga mangsa yang terlibat dan memberi apa jua jenis bantuan dalam insiden yang menyayat hati itu.
"Selain itu, saya minta semua pihak yang bertanggungjawab melihatnya secara serius dan menyiasat punca kemalangan itu," kata Hishammuddin.
Semalam, 2 anggota tentera maut dan 5 cedera parah apabila trak yang dinaiki mereka terbabas di tepi jalan di Jalan Ranau-Telupid.
Seramai 19 anggota tentera turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu. – Bernama, 14 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments