Bahasa

Maria Chin tandatangan deklarasi Dr Mahathir atas kapasiti peribadi

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata beliau menandatangai deklarasi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kapasiti peribadi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Mac 2016.	Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata beliau menandatangai deklarasi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kapasiti peribadi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Mac 2016. Maria Chin Abdullah berkata tindakannya menandatangai deklarasi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pertubuhan sivil serta bukan kerajan adalah atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili Bersih 2.0 dipengerusikannya.

Beliau berkata, pihaknya percaya, deklarasi yang ditandatangani seperti hari ini iaitu menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memerlukan penelitian yang lebih mendalam untuk menggunakan nama persatuan.

"Sebelum menandatangani deklarasi ini, saya berbincang dengan jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dan menerima sokongan mereka untuk saya menandantanganinya atas kapasiti peribadi.

"Ini tidak setara untuk mewakili Bersih 2.0 atau NGO kerana kami percaya lebih masa yang diperlukan untuk rundingan dan perbincangan," katanya.

"Jemputan untuk menandatangani deklarasi itu hanya diterima 3 hari lalu."

Dr Mahathir hari ini bersama-sama seteru politik dan bekas musuhnya duduk bersama-sama bagi menandatangani deklarasi untuk menyingkirkan Najib.

"Kami mahu menandatangani deklarasi yang termasuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri," kata Dr Mahathir pada sidang media khas "Selamatkan Malaysia" yang padat dengan petugas media di Kuala Lumpur hari ini.

Selain Maria, antara individu yang hadir ialah Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis Hishamuddin Rais.

Deklarasi itu ditandatangani seramai 58 individu yang menyokong penyingkiran Najib termasuk isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Selain itu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN) di antara tokoh yang menandatangani deklarasi itu walaupun tidak hadir kerana dikatakan sakit.

Dr Mahathir mengetuai deklarasi itu dan membacakannya di hadapan media.

"Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada kerajaan yang dipimpin Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi-institusi nasional," kata Dr Mahathir membacakan deklarasi itu pada sidang media di Pusat Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini.

Maria dalam kenyataannya berkata, susulan daripada itu, beliau akan melaksanakan program untuk mendemokrasikan deklarasi itu dengan mengadakan perbincangan dengan penyokong dan NGO yang berada di bawah naungan mereka.

"Saya ingin mengingatkan perlunya pilihan raya yang adil dan bersih termasuk pembaharuan institusi yang merupakan agenda utama dan tidak boleh dikompromi.

"Menjangkaui deklarasi ini, perlu ada iltizam politik yang kuat dan usaha untuk membaiki institusi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," kata Maria. – 4 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments