Utusan Malaysia hari ini menggambarkan himpunan ‘baju merah’ yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam sebagai sebuah perhimpunan untuk memartabatkan orang Melayu.
Dengan muka depan bertajuk "Suara Melayu", akhbar milik Umno itu melaporkan bagaimana peserta sanggup berarak berbelas-belas kilometer dalam keadaan panas terik dan berjerebu dari beberapa lokasi seperti Jalan Conlay, Masjid Wilayah, Masjid Negara, Jalan Bukit Bintang dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menuju ke Padang Merbok, iaitu titik pertemuan perhimpunan tersebut.
"Apa yang menarik, sebahagian besar peserta perhimpunan terdiri daripada anak muda yang dilihat begitu bersemangat dalam mempertegaskan hak dan kepentingan orang Melayu, biarpun ada pihak menganggap perhimpunan itu bukanlah memperjuangkan orang Melayu," lapor akhbar berbahasa Melayu itu.
Utusan Malaysia juga mempertahankan perhimpunan semalam yang boleh dikategorikan sebagai tidak teratur serta rasis dengan mengatakan sewaktu ia berlangsung, kebanyakan ucapan pemimpin hanya lebih berasaskan perpaduan Melayu dan menyelar tindakan segelintir puak kerana semakin berani menghina orang Melayu gara-gara terlalu taksub dengan ideologi DAP.
Apa yang lebih mengejutkan, akhbar milik Umno itu juga lebih mengetengahkan insiden kekecohan berdekatan Jalan Petaling di Kuala Lumpur itu merupakan provokasi pihak pembangkang.
Katanya, biarpun terdapat pihak cuba memburuk-burukkan himpunan berkenaan dengan kekecohan yang tercetus di Jalan Petaling, namun gambar yang tersebar di media sosial jelas membuktikan ia dilakukan sekelompok individu yang bertindak sebagai provokator bagi "memancing" kemarahan peserta Himpunan Rakyat Bersatu, lapor Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia juga mendakwa beberapa portal berita yang dilabelkan sebagai "portal pro pembangkang" dan beberapa pihak lain sebagai cuba memberi gambaran buruk terhadap perhimpunan ‘baju merah’ itu.
"Seperti biasa portal berita pro pembangkang dan beberapa pihak lain cuba memberi gambaran buruk terhadap perhimpunan berkenaan melalui media sosial kononnya perhimpunan itu bersifat perkauman.
"Tetapi hakikatnya, perhimpunan itu seperti ditegaskan beberapa pemimpin yang berucap adalah sebagai tindak balas terhadap kebiadaban peserta perhimpunan haram Bersih menghina pemimpin Melayu.
"Malah pemimpin tersebut menegaskan, perhimpunan berkenaan sebagai peringatan kepada DAP supaya tidak menggunakan nama rakyat bagi mencapai tujuan politik mereka," menurut akhbar berkenaan.
Laporan akhbar itu turut mempertahankan perhimpunan tersebut dengan melaporkan pelbagai pihak terutamanya pemimpin dan "portal pro pembangkang" seolah-olah memperlekehkan jumlah peserta yang hadir kerana mempertikaikan jumlah mereka.
"Walaupun perhimpunan itu menyaksikan kira-kira 200,000 orang Melayu menyertainya, namun kelompok berkenaan cuba memperkecil-kecilkan angka tersebut dengan menganggap ia tidak mampu menandingi perhimpunan haram Bersih yang diadakan selama 2 hari pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu," lapor akhbar itu.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan mempersoalkan jumlah kehadiran itu berpunca daripada sikap dengki penyokong Bersih yang gagal mematuhi undang-undang serta pematuhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Bagaimanapun apa yang berlaku sepanjang perhimpunan berlangsung khususnya perarakan peserta ke Padang Merbok membuktikan jumlah peserta mencecah 200,000 orang.
"Tetapi seperti biasa, ia sama sekali tidak akan diambil kira pihak pembangkang dan penyokong Bersih yang menjadi sasaran utama dalam perhimpunan itu berikutan tindakan biadab mereka ketika perhimpunan haram Bersih," lapor akhbar itu. – 17 September, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments