Bahasa

Menteri mahu Bernama tambah baik kualiti pemberitaan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Bernama tidak harus berpuas hati dengan peranan tradisionalnya sebagai pembekal berita dan maklumat selama ini kerana keadaan sekarang tidak seperti dahulu dengan media sosial dan media dalam talian melakukan perkara yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mac, 2016.Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Bernama tidak harus berpuas hati dengan peranan tradisionalnya sebagai pembekal berita dan maklumat selama ini kerana keadaan sekarang tidak seperti dahulu dengan media sosial dan media dalam talian melakukan perkara yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Mac, 2016.Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakukan penambahbaikan yang ketara dalam kualiti pemberitaannya, selaras dengan kehendak dan perubahan dalam landskap media masa kini.

Beliau berkata agensi berita itu dengan berlatarbelakangkan legasi yang wujud selama 48 tahun, seharusnya mampu menyalurkan berita dengan pantas atau "first with the news", di samping gaya penulisan berita yang lebih menarik.

Katanya Bernama tidak harus berpuas hati dengan peranan tradisionalnya sebagai pembekal berita dan maklumat selama ini kerana keadaan sekarang tidak seperti dahulu dengan media sosial dan media dalam talian melakukan perkara yang sama.

"Gaya penulisan berita juga harus lebih menarik selaras dengan perkembangan semasa dalam dunia kewartawanan yang menyaksikan persaingan yang dinamik dan sengit dan tanpa sempadan ini," katanya kepada Bernama di Putrajaya hari ini.

Salleh menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi Bernama yang baharu, Datuk Seri Azman Ujang serta Ahli Lembaga Pengelola dan Ahli Majlis Penyeliaan Bernama di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Salleh turut mengingatkan Bernama, berita yang dihasilkan bukan lagi dibaca penduduk Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Jadi kita perlu bersaing dengan standard antarabangsa," katanya.

Dalam era sebelum kemunculan media online, kata Salleh, pelanggan media mungkin bergantung kepada Bernama untuk "newsbreak", dan sepatutnya ia merupakan ciri penting dalam prosedur operasi standard (SOP) Bernama sebagai agensi berita nasional.

"Bernama yang mempunyai jumlah pasukan pemberitaan yang agak besar dan berpengalaman berbekalkan tradisi dan legasi seharusnya pantas menyalurkan berita," katanya.

Salleh berkata Bernama tidak syak lagi memainkan peranan penting sebagai sumber berita terkini dan boleh dipercayai, terutama di kalangan media tempatan dan asing, agensi-agensi kerajaan, swasta, universiti dan individu di negara ini.

"Namun, saya melihat masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian berita Bernama," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar berita di Bernama Online hendaklah dikemas kini mengikut kekerapan tertentu.

Salleh berkata beliau mengiktiraf peranan Bernama sebagai "jambatan berita" yang menghubungkan 2 rantau dalam negara, Sabah dan Sarawak, dengan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata peranan itu perlu diperkukuhkan kerana penggantungan para pelanggan media di sana terhadap Bernama sebagai pembekal utama berita utama kepada mereka.

"Saya rasa inilah antara cabaran yang saya mahu lontar kepada Bernama di bawah Pengerusi baharunya, yang seperti kita semua tahu, seorang wartawan veteran Bernama sendiri.

"Dalam hal ini, saya berharap ahli Lembaga Pengelola dan ahli Majlis Penyeliaan Bernama dapat menyumbang atau membantu Bernama dari segi buah fikiran dan seterusnya memastikan Bernama kekal sebagai antara agensi berita terunggul di rantau ini," katanya. – Bernama, 2 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments