Bahasa

Mufti Pahang enggan mohon maaf susulan khutbah kecam DAP

Teks khutbah Aidiladha yang disediakan Jabatan Agama Islam Pahang mengundang kemarahan DAP kerana mengecam parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 September, 2015.Teks khutbah Aidiladha yang disediakan Jabatan Agama Islam Pahang mengundang kemarahan DAP kerana mengecam parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 September, 2015.Tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung khutbah Aidiladha yang didakwa mengatakan DAP menentang islam, Mufti Pahang dilaporkan berkata pihaknya tidak akan tunduk terhadap tuntutan memohon maaf oleh parti itu.

Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman menegaskan, khutbah tersebut satu nasihat kepada umat Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada pihak mahu jabatan ini mohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.

"Sepatutnya mereka yang memohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan," katanya kepada akhbar milik Umno itu, mengulas gesaan DAP agar Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memohon maaf berhubung intipati khutbah tersebut.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi tempoh sehingga esok untuk Jaip membuat kenyataan maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu, atau berdepan tindakan undang-undang.

Menurut Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.

"Saya rasa terkilan dengan orang Islam DAP. Sepatutnya mereka mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman kami dan meminta kami memohon maaf," katanya.

Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha dikeluarkan Jaip, umat Islam dinasihati bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu.

Sementara itu, akhbar sama turut melaporkan Dewan Ulama PAS Perak mempertahankan Jabatan Mufti tersebut dan menyifatkan khutbah itu nasihat, bukannya menyebarkan fitnah.

PAS Perak turut mengingatkan DAP agar tidak cuba mencampuri urusan Islam, apatah lagi mengganggu badan yang menjaga pentadbiran Islam seperti Jaip.

"Khutbah itu tidak berbentuk fitnah tetapi nasihat daripada sebuah badan berkuasa di peringkat negeri bagi memperkatakan tentang Islam. Kuasanya dipelihara undang-undang," kata Ketua Dewan Ulama PAS Perak Sidek Mohd Noor dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga turut dilaporkan Utusan Malaysia, menyelar tindakan DAP yang sekali lagi cuba mencampuri hal ehwal agama Islam. – 29 September, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments