Bahasa

Mufti Perlis sokong fatwa larangan pembesar suara masjid Pulau Pinang

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015.Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015.Menyifatkan orang bukan Islam sudah terkeliru antara bacaan zikir atau ayat Al-Quran dan laungan azan, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin keputusan mempertahankan larangan pembesar suara di masjid Pulau Pinang baru-baru ini.

Katanya, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad.

"Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.

"Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi. Apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak," katanya di laman Facebook rasminya.

Beliau turut memberi contoh hadis menunjukkan dilarang perbuatan menguatkan bacaan Al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jemaah lain.

Dalam hadis itu, Nabi melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain.

"Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya," kata Asri.

Justeru katanya, umat Islam perlu menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid.

Ini kerana katanya, sikap keras mereka dalam hal ini bukanlah perjuangan mempertahankan Islam.

"Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan dan juga menjaga Islam yang harmoni.

"Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak," katanya.

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dalam satu surat bertarikh 1 September lepas menyatakan  larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, kecuali untuk azan dan iqamah, di negeri itu akan diwartakan tidak lama lagi.

Ia susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Mengesahkan kepada Bernama mengenai perkara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor berkata ia tidak menjejaskan kesucian dan syiar Islam malah selaras dengan nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamullail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau.

Bernama melaporkan, sejumlah 10 aduan diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang berkaitan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau dari Januari 2012 hingga Mei 2015 melibatkan pembesar suara di luar bagi bacaan dalam solat, zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman Al-Quran atau zikir sebelum azan. – 2 Oktober, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments