Bahasa

Mukhriz ramal Umno terus lemah bawah pentadbiran Najib

Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama para penyokongnya selepas sidang media peletakan jawatan sebagai menteri besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Star, hari ini. Beliau berkata ketidakmampuan Umno menguruskan beberapa siri skandal baru-baru akan menyebabkan ia terus lemah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2016.Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama para penyokongnya selepas sidang media peletakan jawatan sebagai menteri besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Star, hari ini. Beliau berkata ketidakmampuan Umno menguruskan beberapa siri skandal baru-baru akan menyebabkan ia terus lemah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2016.Umno akan terus berada pada tahap paling lemah selagi presidennya, Datuk Seri Najib Razak kekal mengemudi parti itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini.

Mukhriz yang baru saja meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah hari ini berkata Umno tidak mampu menguruskan beberapa siri skandal baru-baru.

"Maaf cakaplah, selagi Najib ada, Umno akan berada pada tahap paling lemah sekarang.

"Skandal demi skandal, kita dah tak mampu menanganinya lagi. Ia terlalu banyak buat kita dan ia trauma untuk kita semua. Mana hendak letak muka bila ke luar negeri," kata Mukhriz ketika mengumumkan peletakan jawatannya di Alor Star, hari ini.

Katanya, orang dihalang daripada bercakap dan ini merujuk kepada perhimpunan agung Umno akhir tahun lepas yang menyaksikan Najib satu-satunya pemimpin tunggal parti yang berucap pada acara penutup.

Menyimpang daripada tradisi, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kritikal terhadap Najib dihalang daripada merasmikan persidangan sayap parti itu tahun lalu.

"Sikap kebudak-budakan juga terlihat dalam ucapan pembukaannya (Najib) apabila VIP yang hadir termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden, tidak disapa dalam ucapannya.

"Mereka dihalang sehingga ke tahap itu....inilah keadaan parti kita," kata Mukhriz.

Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah hari ini selepas hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) susulan kemelut ketidaktentuan politik selama 2 minggu.

Pergelutan jawatan tertinggi negeri itu bermula pada 20 Januari apabila Timbalan Ketua Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai sidang media bersama ketua bahagian dan pemimpin sayap, mengisytiharkan mereka hilang sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Ahmad Bashah akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu esok. – 3 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments