Kemelut politik Kedah selesai selepas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatannya serta-merta berkuat kuasa hari ini susulan hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mukhriz memberitahu, pihak Istana Kedah sudah memaklumkan kepadanya semalam, beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti.
"Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya serta-merta sebagai menteri besar Kedah," kata Mukhriz pada satu sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Star.
Sementara itu Bernama melaporkan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai menteri besar baharu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din membuat pengumuman itu pada sidang media khas di wisma itu sejurus selepas Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan.
Katanya, majlis pelantikan menteri besar baharu akan diadakan esok jam 10 pagi di Istana Anak Bukit.
Ahmad Bashah, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, mengetuai 14 ketua Umno bahagian pada satu sidang media 20 Januari lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz dan menggesa beliau diganti.
Katanya, anak bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menerajui pentadbiran negeri sejak 2013, gagal menyatukan parti dan jenteranya dan tiada strategi untuk Umno Kedah menuju Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pada sidang media itu, Mukhriz turut mengumumkan akan meletakkan jawatan presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), kerana jawatan itu datang sekali dengan jawatan menteri besar.
Bagi jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, beliau menyerahkan kepada perdana menteri dan presiden parti Datuk Seri Najib Razak menentukannya.
Pada sidang media itu juga, Mukhriz memberitahu pernah ditawarkan jawatan timbalan menteri tetapi menolaknya sambil menegaskan akan tetap setia dengan Umno walau tanpa jawatan.
Mukhriz turut mendedahkan, beliau tidak memaklumkan kepada bapanya mengenai keputusan meletakkan jawatannya itu.
"Saya tak maklum pada beliau. Saya harap dia sokonglah. Saya berasa seperti dilepaskan daripada satu beban besar (berhubung keputusan meletak jawatan)," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu adalah 2 orang exco kerajaan negeri iaitu Datuk Aminuddin Omar dan Datuk Suraya Yaacob.
Mukhriz, yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah Ke-11 pada 6 Mei 2013, berkata beliau melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.
"Tidak sekali-kali saya mencemar kedaulatan Kesultanan Kedah dan maruah rakyat jelata dengan apa-apa tindakan yang tidak mencerminkan ciri-ciri yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin.
"Saya menganggap peluang berkhidmat untuk rakyat Kedah di bawah naungan Sultan Kedah sebagai satu penghormatan yang amat tinggi," katanya. – 3 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments