Selepas menyertai Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau bersedia dikenakan tindakan dari Umno, lapor Sinar Harian.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk membuat keputusan namun sebarang tindakan yang dikenakan terhadapnya perlulah mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.
“Saya faham tindakan saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang pegang jawatan dalam parti mengambil risiko kerana mengundang reaksi serta tindakan seperti itu daripada pucuk pimpinan.
“Terpulang jika MT ingin usulkan demikian (mahu parti bertindak), tetapi biarlah megikut peraturan. Kalau untuk sesetengah orang boleh ikut peraturan, kenapa tidak kepada yang lain. Nampak sangat ketidakadilan yang berlaku dalam pengurusan parti,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Mengulas lanjut perkara itu, Mukhriz berkata sekiranya Umno mengamalkan demokrasi yang mempertahankan hak bersuara, mereka sepatutnya diberikan ruang untuk melontarkan pandangan.
“Saya ingat zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) dicabar Tengku Razaleigh (Hamzah), Tun Musa (Hitam), ketika itu mereka dibenarkan bergerak ke merata tempat dan mengkritik presiden dengan tujuan untuk bersaing pada pemilihan parti. Tidak ada sebarang sekatan dikenakan malah bila kalah sekalipun ada dalam kalangan penggerak yang masih dilantik pegang jawatan menteri dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika kunjungannya ke rumah bekas ketua penyelia Pembangunan Mukim Bunut Payong Ahmed Sabri Yuosoff di Kelantan semalam untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu politik Umno ketika ini yang dilihat semakin bercelaru.
“Saya cuba untuk beri penjelasan sebagaimana diminta. Ia juga mempunyai kaitan dengan Deklarasi Rakyat baru-baru ini.. ia bukan siri jelajah yang dirancang sebaliknya kita menerima undangan, ada pihak yang jemput.
“Sebelum ini maklumat mungkin daripada sebelah pihak, jadi mereka nak dengar daripada pihak-pihak terlibat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian. – 8 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments