Bahasa

Musa Hitam desak Umno tegas, jangan lebih PAS dari PAS

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mendesak Umno mengambil pendirian dalam isu hukum hudud. -- Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mac, 2015.Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mendesak Umno mengambil pendirian dalam isu hukum hudud. -- Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mac, 2015.Menegaskan yang hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, Tun Musa Hitam hari ini melahirkan kekecewaannya terhadap Umno yang sehingga kini masih belum menyatakan pendirian rasminya berhubung pelaksanaan hukum itu di Kelantan.

Sambil mengingatkan Umno agar tidak dilihat cuba melebihi PAS dalam perkara itu, bekas timbalan perdana menteri itu mendesak Umno mengambil pendirian tegas dalam isu itu yang menurutnya mempunyai kesan jangka panjang kepada negara.

"Saya amat kecewa Umno sendiri seolah-olah terpinga-pinga dan hingga sekarang masih belum menentukan pendirian tegasnya. Saya boleh dikatakan begitu lama khuatir atas polisi dan agenda Umno di sini.

"Umno mesti mengambil pendirian tegas. Ini isu nasional yang berimplikasi panjang kepada negara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.

"Umno tidak mampu dianggap seolah-olah cuba melebihi PAS dalam hal ini. Umno janganlah hendaknya mahu menjadi lebih PAS daripada PAS sendiri! 'Umno should not be trying to out-PAS PAS!'," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar dari Cordoba, Sepanyol kerana berada di sana bagi merasmikan persidangan meja bulat Forum Ekonomi Islam Sedunia.

Musa berkata dalam isu hudud, rakyat tidak harus hairan atau terkejut dengan PAS yang berusaha habis-habisan memperjuangkan pelaksanaannya.

"Ini kerana, begitu lama dan konsisten mereka (PAS) mengutarakan manifestonya melaksanakan hukum ini. Semua parti pembangkang yang ada di dalam Pakatan Rakyat (PR) pula janganlah berpura pura tidak mengetahuinya," katanya.

Rabu lalu, kerajaan PAS Kelantan membentang pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia mendapat sokongan sebulat suara Adun PAS serta Umno.

Pada masa sama, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sehingga kini masih belum menyatakan sebarang pendirian mengenai langkah kerajaan PAS tersebut.

Pada Khamis, semasa membahaskan pindaan enakmen itu, Ketua Pembangkang Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata beliau menyokong pelaksanaan hudud kerana Allah, tidak berlandaskan sentimen politik.

"Saya sokong hudud ini kerana Allah. Umno sokong juga kerana Allah. Bukan kerana politik," katanya yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan.

Musa dalam kenyataan eksklusifnya kepada The Malaysian Insider itu mengulangi pendapatnya yang hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia mengambilkira faktor masyarakat majmuk yang terdapat di negara ini.

"Secara peribadi saya dari awal-awal lagi berpendirian hudud tidak sesuai di negara kita Malaysia.

"Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya yang hati sanubari Umno sejak ditubuhkan hingga sekarang berpendirian, hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini," katanya.

Musa mendesak Umno segera menyatakan pendirian dalam isu itu sambil memberi amaran ia bakal berdepan akibat yang buruk sehingga memusnahkan parti itu sendiri jika tidak berbuat demikian.

"Kalau saya tersalah faham dalam hal ini, Umno harus menentukan pendiriannya secepat mungkin. Isu ini sangat penting dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Bukan sahaja negara yang akan menanggung akibatnya tetapi Umno juga akan menghadapi akibat buruk sebagai parti politik yang begitu banyak berkhidmat kepada bangsa dan negara begitu lama.

"Janganlah Umno memusnahkan diri sendiri iaitu 'self destruct'!" katanya.

Enakmen yang mencetuskan kontroversi itu diluluskan sebulat suara pada 19 Mac apabila kesemua 44 orang Adun menyokong pindaan itu selepas ia dibahaskan 4 ahli Dewan.

Enakmen itu akan dibawa ke Parlimen secara rang undang-undang persendirian oleh ahli Parlimen PAS yang akan mengusulkan pindaan kepada Akta 355 (Mahkamah Syariah).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar surat kepada Parlimen pada 18 Mac lalu memohon kebenaran membentangkan rang undang-undang persendirian itu pada sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini hingga 9 April.

Ia dikatakan dibuat Hadi secara unilateral tanpa pengetahuan rakan lain dalam komponen PR.

Pindaan kontroversi tersebut bakal memberi laluan kepada PAS yang mengatakan sejak awal penubuhannya ia bertujuan menegakkan syariat Islam di Malaysia walaupun dibantah.

Susulan keputusan PAS tersebut, pelbagai reaksi diberikan dan banyak juga yang mengkritik. DAP menyifatkan sekutunya dalam PR tersebut sebagai mengkhianati kerjasama dan semangat permuafakatan yang dijalin selama ini.

Parti komponen Barisan Nasional, MCA juga lantang membidas langkah kerajaan PAS Kelantan tersebut. – 21 Mac, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments