Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat Malaysia agar tidak menuding jari kepada kerajaan semata-mata dalam mencari punca kemerosotan nilai mata wang ringgit.
Katanya, ini kerana, negara ini bernasib baik apabila kerajaannya "mempunyai visi yang jelas serta perancangan mantap yang disusun begitu rapi sekali" bagi membentenginya daripada kesusutan pendapatan petroleum yang dianggar berjumlah RM30 bilion.
"Kita mesti faham, negara kita pada dasarnya berada pada landasan yang betul.
"Apa-apa pun yang berlaku, termasuklah kejatuhan mata wang, faktor-faktor besarnya berada di luar kawalan kita.
"Kita tak boleh salahkan kerajaan kerana lebih daripada 120 negara di dunia ini, nilai mata wang mereka juga jatuh.
"Ada yang lebih ketara kejatuhan nilai mata wang mereka," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Kuala Lumpur, malam ini.
Kenyataan defensif Najib itu dibuat ketika beliau sendiri bergelut dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disebut bank pusat sebagai penyumbang kepada kemerosotan nilai ringgit.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada 21 September lalu berkata ringgit hanya akan pulih sekiranya isu 1MDB diselesaikan.
“Kita tidak perlukan satu lagi skandal. Kita tidak perlu ketidaktentuan politik. Semua isu berkenaan 1MDB perlu diselesaikan, barulah kita boleh menyaksikan ringgit naik semula,” kata Zeti semasa sesi pembentangan Laporan Kemaskini Ekonomi Malaysia 2015.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya malam ini turut merakamkan penghargaan kepada PKMM yang berikrar memastikan cawangannya di Sarawak membantu kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri akan datang.
Najib juga, tanpa memperincikan sebarang angka, berjanji memenuhi permintaan Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad yang merayu beliau membantu "dana pengurusan" persatuan tersebut. – 7 November, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments