Bahasa

Selepas kukuh dalam Umno, sekali lagi Najib tawar PAS bekerjasama

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak (kiri) bersalaman dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2015.Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak (kiri) bersalaman dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Disember, 2015.Selepas menawarkan kerjasama dengan PAS pada Perhimpunan Agung Umno lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sekali lagi mengulangi pelawaannya itu hari ini.

Berucap semasa merasmikan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia, presiden Umno itu turut membacakan ayat dari Surah Al-Imran dalam Al-Quran bagi menyokong kenyataannya.

"Islam menganjurkan betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan ummah dan sebaliknya, betapa bahayanya apabila kita umat Islam terjebak dalam kancah perbalahan.

"Dan petunjuk Al-Quran dengan begitu jelas mengariskan perpaduan ini, sehingga orang biasa seperti saya dapat memahami.

"Ini bukan pilihan, ini wajib. Bila mana Allah perintah, hukumnya adalah wajib," katanya semasa merasmikan multaqa itu di Kuala Lumpur hari ini yang menyaksikan perhimpunan bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dari Malaysia dan Indonesia.

Najib yang terus memetik surah Al-Quran tersebut dalam ucapannya berkata, umat Islam wajib menghormati ikatan perpaduan dan perlu berpegang kepada dasar perpaduan.

"Kita berpegang bukan kepada tali lain, tali manusia ataupun tali biasa, tetapi tali Allah. Ditegaskan (dalam ayat Al-Quran), jangan kamu berpecah belah, maknanya melarang kita dari berpecah belah.

"Saya mewakili kabilah saya, dan tuan guru (Hadi) mewakili kabilahnya. Mari kita berpegang kepada pengertian ayat ini.

"Jangan kita jadi macam negara Arab. InsyaAllah Malaysia tidak akan terjebak," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Dalam ucapannya itu, Najib turut mendedahkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional pernah menolong Hadi sebelum ini.

"Saya masih teringat pada tahun 2010 bagaimana kerajaan Malaysia membantu Hadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan kesatuan ulama sedunia untuk cuba mendamaikan pihak bersengketa di Yemen," katanya.

Perdana menteri turut dilihat banyak memberi pujian dan menyokong kata-kata Hadi dalam ucaptamanya yang disampaikan terdahulu daripada ucapan perasmian Najib, terutamanya mengenai menolak bantuan daripada negara Barat.

"Dari sudut lain, kita lihat kecenderungan bagaimana tafsiran agama dibuat secara liberal dan longgar. Ia membuka ruang kepada tafsiran agama secara bebas, kononnya ikut akal dan logik.

"Kita tidak perlu pakar dari Barat. Saya setuju dengan tuan guru. Ini jalan kita untuk umat Islam," katanya.

Najib turut melafazkan komitmen Malaysia membantu umat Islam di Palestin dan menyatakan, beliau tegas dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memperjuangkan dan membela nasib orang Islam yang ditindas di negara lain.

"Kita juga bantu 80,000 orang Islam Rohingya. (Mereka) selamat di bumi Malaysia. Dan baru-baru ini, kita (buat keputusan) menerima 3,000 rakyat Syria," katanya. – 17 Disember, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments