Bahasa

Najib tanya apa saya hendak supaya tak cakap pasal 1MDB, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menyogoknya supaya beliau tidak lagi bercakap tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Disember, 2015.Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menyogoknya supaya beliau tidak lagi bercakap tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Disember, 2015.Mengatakan beliau tidak pernah meminta apa-apa daripada Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh perdana menteri itu cuba "menyogoknya" supaya beliau tidak lagi bercakap tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir membuat dakwaan itu dalam posting di blognya semalam, mengatakan Najib biasa datang berjumpa dengannya dan bertanya apa yang beliau hendak.

Bekas perdana menteri itu berkata, pada mulanya beliau menyangka Najib ikhlas, lalu beliau menyebut beberapa projek pembangunan untuk negara.

"Kemudian saya sedar dia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB," katanya.

Katanya, apa yang beliau mahukan daripada Najib ialah demi kepentingan negara dan rakyat.

Dr Mahathir berkata, beliau masih menyokong Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

"Yang saya minta daripada Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib.

"Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU13 lebih buruk daripada (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) dalam PRU12, setelah kemenangannya dalam PRU13 lebih buruk, saya masih terus menyokongnya sebagai perdana menteri.

"Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya pada waktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas perdana menteri yang lain, pun saya tolak.

"Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar RM1 juta untuk sekeping. Duit ini daripada tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam kerajaan. Tak hutang.

"Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam kerajaan saya pulangkan balik kepada kerajaan. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman perdana menteri lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara,” katanya.

Katanya, hanya apabila hutang 1MDB didedahkan, beliau menarik balik sokongannya, dan bukan kerana Najib tidak meneruskan projek yang beliau mahukan untuk negara.

"Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Baru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib," kata Dr Mahathir.

Tetapi kehilangan wang kerajaan terlalu besar, katanya, merujuk kes 1MDB.

"Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit kerajaan berbilion-bilion.

"Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila RM2.6 bilion tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.

"Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, perdana menteri memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun perdana menteri Malaysia tidak harus memiliki RM2.6 bilion," kata Dr Mahathir.

Najib pernah berkata, Dr Mahathir mahu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dimansuhkan dan "jambatan bengkok" yang menghubungkan Johor dan Singapura dibuat semula.

Beliau berkata, kedua-dua isu itu mungkin menjadi sebahagian daripada sebab bekas perdana menteri itu tidak henti-henti mengkritiknya. – 10 Disember, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments