Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyifatkan blogger yang menyerang parti itu sebagai bangang adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan hanya terlepas cakap saja, dakwa Datuk A Kadir Jasin.
Wartawan veteran itu berkata senario hampir sama pernah berlaku semasa Najib berhasrat mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 pada 2012.
"Ini adalah sifat Najib yang sentiasa terlepas cakap misalnya beliau terlepas cakap dengan menjanjikan pemansuhan Akta Hasutan tanpa berunding dengan partinya sendiri," katanya 'menyindir' ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kadir berkata kenyataan Najib yang mendakwa blogger pro Umno bangang semasa ucapan penggulungan Umno pada Sabtu lalu perlu difahami masyarakat.
Katanya, ucapan berkenaan hanya dikhususkan kepada blogger yang dibayar Umno atau pihak yang berkaitan dengan parti itu.
"Najib merujuk khusus kepada blogger yang cari makan dengan buat blog. Saya yakin yang dimaksudkan Najib ialah blogger yang dibayar Umno atau pihak yang berkaitan dengan Umno.
"Asal-usul saya Umno tapi saya bukan blogger Umno. Zam juga asal usul Umno tapi saya tidak yakin beliau dibayar Umno," katanya merujuk kepada bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
"Tetapi saya dan Zam kedua-duanya kritikal terhadap Najib selaku presiden Umno dan perdana menteri,” katanya.
Sementara itu, Zainuddin berkata terdapat pihak tertentu yang mendakwa kenyataan Najib itu ditujukan kepadanya.
"Saya tidak termasuk dalam list bayaran blogger Umno. Orang boleh pertikaikan saya, jalankan (blog) pun atas duit pencen saya, tiada yang bantu," katanya kepada The Malaysian Insider.
Mengulas keluhan Najib yang mahukan blogger pro Umno menyerang pembangkang dan bukannya pemimpin parti, Zainuddin berkata blogger perlu diberikan kebebasan.
Katanya, hasrat Najib yang mahukan blogger Umno menulis dalam kerangka yang terhad seperti yang disarankan akan menjadikan blog medium yang tidak berbeza dengan akhbar.
"Najib tidak tahu bagaimana media patut menjadi efektif, dianggap boleh dipercayai atau berkredibiliti jika tidak boleh diserang.
"Maknanya dia berharap media itu arus perdana seperti akhbar. Orang tahulah, akhbar Umno sesetengah orang ambil keputusan tidak baca.
"Jika kita harap tidak boleh kritik pemimpin, jadi kredibilitinya bagaimana sebagai suara yang efektif?" katanya.
Pengendali blog Syed Out the Box, Syed Akhbar Ali pula berkata dakwaan Najib perlu dilontarkan lebih awal dan bukannya semasa ucapan penggulungan.
"Saya pelik perdana menteri sebut Umno bangang pada penghujung perhimpunan. Katakan dia sebut perkataan ini pada awal, bolehlah perwakilan bincangkan isu itu.
"Isu ini jadi masalah dalam Umno tetapi tidak diselesaikan dalam parti sehingga dibawa presiden ke dalam perhimpunan," katanya.
Syed Akhbar berkata serangan blogger Umno kepada pemimpinnya sendiri adalah suara akar umbi yang menuntut perubahan.
"Maksudnya dalam Umno pun orang sudah kurang selesa. Orang Umno sendiri mula merungut melalui blog, Facebook dan sebagainya.
"Ada isu yang mereka masih pertikaikan, tidak suka, tidak selesai, yang dirasakan membahayakan masa depan Umno dan negara.
"PM kena siasat dan ambil tahu mengapa mereka marah, tidak setuju dan masuk dalam blog. Itu yang lebih penting. Kalu dicop bangang atau bengong, itu bukan cara selesaikan masalah. Malah dia adalah presiden," katanya kepada The Malaysian Insider.
Sementara itu, Datuk Ahiruddin Attan, pemilik blok Rockybru berkata senario blogger menyerang pemimpin sendiri berubah berdasarkan musim semasa dalam politik.
Katanya, bagaimanapun mengikut aturannya seseorang blogger itu akan taat kepada pihak yang membayarnya.
"Dalam Umno mungkin dulunya blogger ini dibayar untuk lawan Red Bean Army tetapi sekarang datang pula bahang pemilihan Umno, mulalah (mereka) serang ketua Umno sendiri," katanya. – 1 Disember, 2014.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments