Datuk Seri Najib Razak bersih daripada sebarang kesalahan, kata peguam negara hari ini, selepas penyiasatan hampir 6 bulan kes derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri dan syarikat milik kementerian kewangan SRC International Sdn Bhd dijalankan.
Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, "tidak terdapat bukti yang cukup" untuk mengaitkan perdana menteri.
"Berdasarkan fakta dan bukti, tiada kesalahan jenayah dilakukan perdana menteri berkait dengan 3 kertas penyiasatan.
"Dengan ini saya mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kertas siasatan tersebut," kata Apandi pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.
Tiga kertas berkenaan adalah derma RM2.6 bilion dan 2 lagi berkaitan SRC International yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (Diperbadankan) atau KWAP.
Apandi hari ini juga membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung SRC International.
Apandi berkata berdasarkan keterangan saksidan dokumen sokongan dikemukakan SPRM, jumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri antara 22 Mac, 2013 dan 10 April,2013 merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi yang "diberikan kepadanya tanpa apa-apa balasan".
"SPRM dalam siasatan mereka secara peribadi bertemu dan mengambil keterangan daripada saksi termasuk penderma, yang mengesahkan derma itu diberikan kepada perdana menteri secara peribadi," katanya.
Apandi berkata beliau berpuas hati, tiada bukti menunjukkan sumbangan itu adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.
"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai seorang perdana menteri," kata Apandi yang membaca kenyataan daripada teks yang disediakan.
Tambahan pula, peguam negara berkata perdana menteri memulangkan AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013 kerana wang itu tidak digunakan.
“Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan YAB perdana menteri mengetahui dan/atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau.
“Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan YAB perdana menteri memberikan apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau," kata Apandi.
Berdasarkan keterangan itu, peguam negara berkata beliau berpuas hati tiada kesalahan jenayah dilakukan berhubung isu RM2.08 bilion itu.
SPRM tahun lepas membuka siasatan berikutan laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report pada Julai tahun lepas yang mendakwa derma RM2.6 bilion, RM42 juta berasal daripada SRC International, anak syarikat yang diilhamkan Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ini menurut dokumen yang diberikan penyiasat Malaysia, WSJ dan Sarawak Report.
Bahagian lebih besar sebanyak AS$681 juta juga dipindahkan ke akaun Najib yang berasal daripada syarikat British Virgin Island dan melalui Falcon Private Bank di Singapura, lapor mereka.
SPRM mengambil keterangan daripada lebih 100 saksi termasuk Najib dan individu yang didakwa memberikan RM2.6 bilion.
Agensi itu terlebih dulu mengemukakan kertas siasatan kepada peguam negara pada 31 Disember dan dikembalikan semula dengan permintaan untuk penjelasan lebih lanjut pada 18 Januari.
Ia mengemukakan semula kertas berkenaan minggu lepas.
Timbalan Pengarah Operasi SPRM Datuk Sri Mohd Shukri Abdull sebelum ini berkata siasatan RM2.6 bilion masih tidak lengkap kerana penyiasat perlu mengumpul dokumen dan kenyataan individu daripada beberapa institusi kewangan di luar negara.
Shukri berkata suruhanjaya itu memfailkan permohonan peguam negara untuk membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah (MLA).
Apandi berkata disebabkan tiada kesalahan jenayah dilakukan, tiada "keperluan" bagi Malaysia membuat permintaan MLA kepada mana-mana negara asing untuk melengkapkan siasatan SPRM berhubung sumbangan itu. – 26 Januari 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments