Kumpulan pembocor rahsia National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tidak menggunakan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) untuk menekan pendedah maklumat.
Pengarah NOW Akmal Nasir berkata, Apandi sepatutnya menumpukan kepada usaha menambah baik Akta SPRM jika benar-benar peka dalam isu integriti pentadbiran kerajaan.
"Jika peguam negara peka dengan soal integriti dalam pentadbiran kerajaan, seharusnya beliau menyemak kembali cadangan dan usaha menambah baik Akta SPRM.
"Malah cadangan penambahbaikan akta ini pernah dibawa beberapa kali oleh SPRM namun masih belum berhasil," katanya pada sidang media di pejabat NOW di Sungai Besi pagi ini.
Akmal berkata, NOW sendiri mencadangkan pihak berkuasa menumpukan usaha dalam menyiasat individu yang hidup mewah melampaui kemampuan sebagai asas untuk siasatan dan bukti rasuah.
Katanya, undang-undang yang digunakan SPRM hari ini masih tidak cukup dan terhad kepada mereka yang sedang disiasat berhubung kes salah laku.
"Seksyen 36 di bawah Akta SPRM, iaitu berkaitan dengan 'kuasa untuk memperoleh maklumat', mengehadkan kuasa SPRM hanya untuk memaksa mereka yang sedang disiasat kes salah laku dan penyelewengan harta dengan notis sekadar untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau juga mempersoalkan tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dalam salahlaku rasuah dan ketirisan tetapi sebaliknya pendedah maklumat kini terdedah dengan ancaman serta tekanan daripada pihak berkuasa.
Akmal berkata, pihak SPRM mempunyai asas untuk menyiasat seseorang berhubung kehidupan mewah yang melampaui kemampuan.
"Sekiranya seseorang gagal menjelaskan bagaimana harta atau kemewahan diperoleh, kehidupan melampaui kemampuan cukup dijadikan bukti rasuah dan penyelewengan," katanya.
Apandi baru-baru ini dilaporkan mencadangkan agar OSA diperketat dengan menambah hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan kerana ia melibatkan pembocoran rahsia kerajaan. – 17 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments