Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan penduduk di luar bandar agar tidak sesekali beranggapan penghijrahan ke Kuala Lumpur akan dapat meningkatkan pendapatan kerana kos kehidupan yang terlalu tinggi.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ekoran persepsi salah berkenaan, wujudlah gelandangan ibu kota yang pernah bercita-cita besar untuk hidup mewah di tengah bandar raya.
"Itulah sebab kita banyak masalah gelandangan, dan ada lain yang berlaku di Kuala Lumpur, kerana mereka datang dengan harapan mendapat kerja dan nafkah yang lebih tinggi.
"Akhirnya, mereka dalam keadaan lebih teruk daripada ketika bekerja di kampung halaman mereka.
"Ini persepsi yang kadangkala kita kena maklumkan kepada kawan-kawan kita di luar bandar," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran di Kuala Lumpur, hari ini.
Baru-baru ini, luahan hati seorang graduan jurusan undang-undang yang dikenali sebagai Zahra, 26, menjadi viral di media sosial selepas videonya menceritakan pergelutan kewangan dirinya dan rakan-rakan seusianya menempuh liku-liku hidup di Kuala Lumpur tersebar luas.
Berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahra berkata kehidupan yang dilaluinya sekarang bukanlah kehidupan yang diimpikan ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
"Saya sering tertanya-tanya, jika orang berpendidikan tinggi seperti saya boleh sebegini miskin, apakah harapan buat rakyat Malaysia yang lain, yang tak ke menara gading atau bukan daripada keluarga berada," katanya dalam program anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada 17 Jun lalu.
Zahra turut menceritakan bagaimana dia terpaksa menggunakan kenderaan milik keluarganya dengan bayaran RM500 sebulan untuk berulang alik ke pejabat serta kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri.
Malah Zahra berkata, dia juga terpaksa menabung sekurang-kurangnya 5 hingga 7 tahun untuk menyediakan deposit 10% untuk memiliki rumah.
“Banyak rumah masih kosong, tetapi ia bukan untuk graduan seperti saya. Jadi rumah yang mahal-mahal itu untuk siapa?” katanya.
“Mungkin saya perlu berkahwin dengan lelaki kaya untuk keluar daripada kemelut sosial ini? Kedengaran melucukan tapi ia realiti,” kata Zahra. – 11 Julai, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments