Gabungan pembangkang baharu terdiri daripada PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah) dikenali sebagai 'Pakatan Harapan', kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Gabungan itu juga menyaksikan parti Islam PAS tidak menyertainya, selepas Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 berpecah.
"Mulai hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sebagai pakatan politik yang jitu membela rakyat berhadapan Umno dan BN," kata Dr Wan Azizah selepas sidang meja bulat pembentukan gabungan baharu di Subang Jaya, Selangor hari ini.
Pada sidang media sama, Dr Wan Azizah turut mengumumkan Pakatan Harapan bersetuju Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya dipenjara atas sebab politik, merupakan calon perdana menteri sekiranya gabungan ini menang pilihan raya umum akan datang.
"Perkara pertama yang diumumkan adalah saudara Anwar sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang," katanya.
"Kami yakin beliau adalah antara pemimpin paling sesuai menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak," kata Dr Wan Azizah.
Ditanya tentang sikap PAS terhadap gabungan baharu ini, Dr Wan Azizah berkata parti itu turut dijemput dalam perbincangan hari ini.
"Mereka jawab terima kasih kerana menjemput tetapi kami tak dapat sertai pusingan (rundingan) kali ini," katanya.
Menurut ahli Parlimen Permatang Pauh itu, satu jawatankuasa khas terdiri daripada setiausaha agung dan wakil setiap parti akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi memperhalusi terma-terma Pakatan Harapan seperti dasar bersama, etika kerjasama sesama parti serta perjanjian bersama.
Kenyataan yang dibaca Dr Wan Azizah pada sidang media kali ini juga buat pertama kalinya ditulis bersama beliau, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sewaktu ditemui wartawan menjelaskan yang Pakatan Harapan berbeza dengan Pakatan Rakyat kerana ia akan mempunyai dokumen yang mengikat semua parti secara bersama.
Katanya, dokumen itu yang menggariskan terma gabungan ini perlu dirunding semula sekiranya ada parti lain ingin menyertainya.
PKR sejak awal berusaha menarik PAS bersama gabungan baharu ini dan disokong Amanah namun parti Islam itu menolak atas alasan ia tidak lagi boleh bekerjasama dengan "pengkhianat parti" dan DAP.
Pada masa sama, PAS menyifatkan Amanah sebagai pengkhianat selepas berpecah daripada parti itu manakala DAP pula kerana mereka memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – 22 September, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments