Bahasa

Parti perlu ambil serius perasaan anti DAP, kata Kit Siang

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ahli dan penyokong perlu bimbang dengan dapatan kajian mengenai peningkatan kemarahan terhadap parti kerana ia tidak diasaskan untuk menjadi alat kepada orang Cina atau mana-mana komuniti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Januari, 2016.Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ahli dan penyokong perlu bimbang dengan dapatan kajian mengenai peningkatan kemarahan terhadap parti kerana ia tidak diasaskan untuk menjadi alat kepada orang Cina atau mana-mana komuniti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Januari, 2016.DAP perlu beri perhatian serius terhadap kajian baru-baru ini yang menunjukkan peningkatan kemarahan terhadap parti pembangkang itu, kata ketua Parlimennya Lim Kit Siang, hari ini.

“Ia satu amaran bagi menimbulkan kesedaran kepada semua pemimpin dan ahli DAP, malah kepada penyokong juga, mengenai perlunya mengambil serius kempen memburukkan parti ini,” katanya mengulas kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati kempen retorik agama dan bangsa dilakukan Umno dan PAS terhadap DAP dilihat berkesan di kalangan orang Melayu.

Pemimpin, ahli dan penyokong DAP perlu bimbang kerana parti itu tidak diasaskan untuk menjadi alat kepada orang Cina atau mana-mana komuniti, kata Lim.

“Memang sesuatu yang dikutuk sekiranya sesiapa anti Islam atau agama lain dalam DAP,” katanya.

Kaji selidik IDE yang dijalankan pada November di kalangan orang Melayu di Selangor, mendapati ramai antara mereka bersetuju DAP anti Melayu, anti Islam dan hanya menjaga kepentingan masyarakat Cina saja.

Kaji selidik itu menyatakan hasil dapatan itu berikutan keberkesanan retorik Umno dan PAS terhadap parti berkenaan, sebaik saja sekutunya PAS keluar daripada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

PAS dan DAP putus hubungan selepas tidak bersetuju dengan gesaan parti Islam itu untuk melaksanakan hudud.

Lim memetik beberapa contoh membuktikan parti itu dan pemimpinnya beraspirasikan pelbagai kaum.

Ia termasuk bilangan wakil rakyat DAP daripada kaum India, perjuangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi keadilan seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol, serta tindakan parti itu yang konsisten meletakkan calon pelbagai bangsa dalam pilihan raya umum (PRU).

“Dalam 11 PRU lalu, DAP memilih wakil Melayu sebagai ahli Parlimen (Ahmad Nor, Zairil Khir Johari, Arif Sabri Abdul Aziz dan Senator Ariffin Omar), dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di Semenanjung (Daing Ibrahim Othman, Mohd Salleh Nakhoda Hitam, Fadzlan Yahya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji).

“Pada PRU 2013, kami memilih Adun daripada kaum Kadazan di Sabah dan sedang menunggu pemilihan wakil rakyat kaum Dayak pertama untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka pada Mac.

“Semua ini adalah testimoni menunjukkan DAP tidak pernah bercita-cita menjadi parti Cina atau bukan Melayu.

"Dan dalam senario Pakatan Harapan, kami akan menggandakan usaha menjadi parti rakyat Malaysia sepenuhnya dengan mengukuhkan keahlian daripada kaum Melayu, Dayak dan Kadazandusun,” katanya. – 8 Januari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments