Bahasa

Parti politik bersaing tawan minda pemimpin pelapis melalui pendidikan

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Khalid Jaafar berkata Sekolah Politik tidak pernah berselindung tentang ideologi dan falsafah liberalisme yang diterapkan dalam program mereka. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Khalid Jaafar berkata Sekolah Politik tidak pernah berselindung tentang ideologi dan falsafah liberalisme yang diterapkan dalam program mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Mac, 2016.Beberapa parti politik di negara ini bersaing antara satu sama lain melalui penubuhan institusi pendidikan mereka sendiri dalam usaha menarik ahli yang kemudiannya akan digilap bakatnya sebagai bakal pemimpin negara masa depan.

Bagaimanapun, menurut seorang profesor, tidak banyak parti yang mengambil serius usaha menyediakan pendidikan politik kepada pemimpin pelapis mereka, mungkin kerana merasakan pendidikan bukan keperluan penting untuk menceburi bidang itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Khalid Jaafar berkata, di Institut Kajian Dasar (IKD) yang melatih bakal pemimpin dan aktivis parti, aspek idea diberi keutamaan, melebihi aspek lain, kerana ia membawa kepada satu momentum intelektual dalam masyarakat.

Katanya, Sekolah Politik, sebuah unit di bawah IKD, dan institut itu sendiri, tidak pernah berselindung tentang ideologi dan falsafah liberalisme yang diterapkan dalam program mereka.

"Kita hidup dalam suasana institusi liberal, demokrasi berparlimen. Ini semua hasil perjuangan liberal, hak asasi manusia, kesaksamaan gender, toleransi. Ini semua idea-idea liberal.

"Saya yakin idea liberal ini akan terus berkembang dalam masyarakat. Saya tak mahu nanti, tukar parti politik tetapi ideanya sama, iaitu hanya hendak mengekalkan kuasa dan kita tidak ada landasan yang jelas.

"Politiknya hanya penuh dengan strategi memenangi kuasa dan mempertahankan kuasa," katanya yang merupakan pengarah eksekutif IKD dan pengetua Sekolah Politik kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang dikenali sebagai “guru politik” dalam parti itu berkata, idea penubuhan Sekolah Politik bermula menerusi program Asian Renaissance IKD pada 2004 yang pada masa itu dilaksanakan menerusi geran pemberian Sasakawa Peace Foundation.

Pada 2011, Sekolah Politik diwujudkan dan namanya dicadangkan wakil Yayasan Konrad Adenauer di Malaysia pada masa itu, Dr Thomas Knirsch, kata Khalid.

Yayasan Konrad Adenauer adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan Jerman yang menggerakkan pendidikan politik dan mendanai program IKD.

Ia dinamakan sempena bekas canselor Jerman (Jerman Barat) Konrad Hermann Joseph Adenauer.

"Di Jerman, sejak sekolah lagi mereka sudah buat keputusan parti mana mereka mahukan. Mereka akan aktif dalam parti dan parti akan merekrut orang daripada bangku sekolah lagi. Mereka tidak lompat-lompat parti di sana.

"Jadi, parti-parti di sana bersaing untuk menang pilihan raya dengan kemahiran kamu, keupayaan kamu. Jadi, pemilihan anggota parti politik itu adalah awal," katanya.

Namun begitu, menurut Khalid, seperkara yang kurang difahami ramai adalah, idea liberalisme yang diketengahkan IKD dan Sekolah Politik merupakan idea "liberalisme alam Melayu".

"Dalam konteks Malaysia, kita berteraskan Rukun Negara, dan Rukun Negara mengkontekskan liberalisme," katanya.

Kata Khalid, idea dan falsafah adalah asas penting pendidikan politik walaupun kini masyarakat cenderung sekadar membincangkan isu-isu semasa politik saja.

"Sekarang kalau kita pergi ceramah politik, sikit-sikit (bercakap tentang) 1Malaysia Development Berhad, sikit-sikit (bercakap tentang skandal) RM2.6 bilion.

"Kita tak bincangkan idea dan gagasan. Apabila isu 1MDB, isu RM2.6 bilion ini hilang, apa yang tinggal dalam kepala kita kalau kita asyik bincangkan hal-hal semasa saja?" soalnya.

Politik khidmat bakti

Seperti enggan kalah dengan PKR, Umno juga mempunyai akademi mereka sendiri yang dinamakan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (Akhi) yang mula beroperasi pada Oktober 2014.

Ia dinamakan sempena Tun Hussein Onn yang merupakan ketua Pemuda Umno pertama yang pada masa itu dikenali sebagai “Kapten Hussein”.

Idea penubuhan Akhi dicetuskan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin merangkap ketua Pemuda Umno.

Ketua Pegawai Eksekutif Akhi, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz berkata, akademi itu lebih cenderung melatih pesertanya menjiwai "politik khidmat bakti".

"Kita mahu ahli kader ini faham betul-betul perjuangan Umno dari segi kebajikan, dari segi turun padang. Ini kekuatan utama kita.

"Kita mahu pastikan mereka tahu dari umur muda, mereka kena turun padang.

"Umno ini parti yang besar payungnya. Sejak ditubuhkan, Umno ini menerima pelbagai pihak - alim ulama ada, liberal ada, haluan kiri pun ada. Jadi, ia pelbagai.

"Dinamik inilah yang membuatkan kita perlu kepada latihan praktikal, tetapi kita tidak lari dari asasnya, iaitu politik khidmat bakti, walaupun pelbagai ideologi berbeza di belakangnya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tengku Zuhri berkata politik khidmat bakti sudah lama terbina dalam Umno.

"Kalau kita tengok perkara yang membezakan Umno dengan parti lain adalah, katakan kalau ada banjir, ada kebakaran, kita sampai dulu," katanya.

Pada masa sama katanya, Akhi tetap menekankan pendidikan teori politik yang disampaikan menerusi program berasaskan kelas.

Kelas tersebut memakan masa antara 12 dan 16 jam, yang dibuat selama sebulan pada 3 hujung minggu setiap bulan.

"Kita memang tidak dedahkan perincian modul kita dalam ruang lingkup awam.

"Secara umumnya, ada teori politik, tetapi kita cuba buat lebih kepada praktikal berbanding akademik," katanya sambil menolak menerangkan lebih lanjut modul mereka kerana ia sulit dan melibatkan sensitiviti parti.

Akhi mula menarik perhatian ramai pada Oktober 2014 apabila menjemput penganjur program I Want to Touch A Dog, Syed Azmi Alhabshi duduk sepentas bersama Exco Pemuda Dr Fathul Bari Mat Jahaya dalam forum bertajuk Debat Keterbukaan lawan Sensitiviti Lazim: Di Mana Titik Tengah.

Akhi juga menjadi tuan rumah forum yang menampilkan peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang bercakap tentang pengalamannya mengambil alih peranan peguam negara dalam rayuan kes Liwat 2 dan berjaya menyumbat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara selama 5 tahun.

Kata Zuhri, Akhi yang mula menarik perhatian ramai pada Oktober 2014 apabila menjemput penganjur program I Want to Touch A Dog, Syed Azmi Alhabshi, duduk sepentas berforum dengan Exco Pemuda Dr Fathul Bari Mat Jahaya, menganjurkan program yang bermatlamatkan inklusiviti.

"Akhi adalah satu gerakan ke arah inklusiviti. Walaupun kita bercerita tentang pengkaderan, tetapi program di Akhi kita buka kepada semua orang," katanya.

Sewaktu Pemuda Umno menekankan kepada politik khidmat bakti, ideologi nasionalisme Melayu yang biasa dikaitkan dengan Umno diteruskan sebuah pertubuhan belia yang hampir mencecah 70 tahun usia penubuhannya - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

"Program GPMS menekankan kepada semangat cintakan negara, patriotisme, serta aspirasi perjuangan Melayu - tetapi ia perjuangan yang berpaksikan ilmu," kata Presiden GPMS Zambri Mohd Isa.

Katanya, program latihan GPMS juga dijenamakan semula bermula Januari 2016 dan ia kini dikenali sebagai Program Perintis Muda.

Ditanya tentang persepsi GPMS sebagai pertubuhan belia yang melahirkan pemimpin pelapis Umno, Zambri menjelaskan ada juga di kalangan bekas pemimpin tertinggi GPMS yang aktif bersama pembangkang.

Antaranya, katanya, bekas ahli parlimen Indera Mahkota yang kini ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar di Terengganu, Azan Ismail, aktivis PKR Fariz Musa dan bekas menteri besar Selangor dari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mengulas mengenai pendidikan politik di negara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berpendapat, ia masih belum berada pada tahap memuaskan.

"Pendidikan politik parti sangat minima. Hendak kata tidak ada langsung itu tidak betul, tetapi parti-parti tak ambil langkah yang benar-benar serius memberikan pendidikan politik yang sepatutnya kepada ahli dan aktivis parti.

"Ini mungkin kerana parti merasakan hendak menceburi politik hari ini tidak memerlukan pendidikan," katanya.

Akibatnya, kata Mustafa, boleh dilihat pada tahap ketokohan personaliti yang mewarnai politik tanah air.

"Apabila pendidikan politik tak diberikan, kita lihat ahli politik berpolitik secara semberono, ikut sesuka saja, sedangkan politik pun ada etika dan aturannya.

"Sebab itulah kita tidak melahirkan ahli politik yang berkaliber dan boleh pergi jauh dalam politik, malah ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata, bagi melahirkan ahli politik yang berkaliber, perlu ada pendidikan yang baik dan asuhan pendidikan politik dalam kancah politik secara betul.

"Tetapi hari ini, berapa saja parti yang ada sekolah politik? Ini bukan saja kepada parti kerajaan, parti pembangkang pun 2 kali 5 dalam hal ini," kata Mustafa. – 6 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments