Bahasa

Pecat lembaga pengarah 1MDB, biarkan polis siasat, Muhyiddin beritahu Najib

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menasihati perdana menteri memecat kesemua ahli lembaga pengarah 1MDB, tetapi belum mendapat jawapan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mei, 2015.Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menasihati perdana menteri memecat kesemua ahli lembaga pengarah 1MDB, tetapi belum mendapat jawapan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mei, 2015.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Datuk Seri Najib Razak agar memecat lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan membawa masuk polis menyiasat syarikat sarat hutang itu.

Muhyiddin berkata, sekiranya Najib yang juga perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB tidak bertindak, tidak mustahil Umno dan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya beritahu perdana menteri, pecat semua ahli lembaga pengarah 1MDB. Buang mereka. Buanglah, pasal mereka, perdana menteri terpaksa menanggung, tetapi tidak dibuang lagi,” katanya dalam satu program Keris yang diadakan Jumaat lalu, dan dihadiri pemimpin kanan Umno termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Buanglah. CEO ni buang. Bukan buang sahaja, panggil polis siasat," kata Muhyiddin disambut sorakan pemimpin tertinggi Umno, dalam video yang turut dimuatnaik di YouTube.

Muhyiddin berkata beliau berasa hairan bagaimana dalam tempoh yang singkat syarikat milik Kementerian Kewangan itu menanggung hutang sehingga RM42 bilion.

Katanya, isu 1MDB perlu segera diselesaikan kerana ia hanya menjadi liabiliti kepada kerajaan dan menyebabkan Umno tidak dipilih rakyat.  

“Kita perlu ambil tindakan, tak boleh beri sedikit masa.

“Jadi rakyat tengok barulah pimpinan kerajaan rasa bertanggungjawab ambil tindakan serius,” katanya.

DAP hari ini menggesa presiden dan ketua pengarah kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy segera dipecat kerana menipu rakyat mengenai kewujudan tunai AS$1.1 bilion (RM3.96 bilion) di Singapura, kata DAP.

Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata, Najib dan ahli lembaga pengarah 1MDB mesti menyingkirkan Arul daripada terus memimpin syarikat sarat hutang itu.

“Kegagalan memecat Arul dengan segera akan mencemarkan nama baik perdana menteri dan ahli lembaga pengarah 1MDB.

“Jika beliau terus memimpin 1MDB akan menghalang usaha mencari kebenaran dan dalang yang akan menyebabkan lebih kerugian kepada syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Rancangan Malaysia Ke-11 akan membantu Bumiputera untuk memiliki hartanah kediaman melalui sumber dana. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mei, 2015.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, rombongannya bersama beberapa menteri Kabinet pada awal bulan ini ke Milan, Itali bukanlah satu komplot bagi menjatuhkan Najib.

“Sebab itu bila saya buat kenyataan di Milan, sebenarnya tiada komplot.

“Zaid Ibrahim kata saya, dengan Tok Pa, dengan Datuk Nazri duduk berkomplot nak jatuhkan, termasuk Tun Daim, bohong, fitnah, jangan percaya mudah-mudah apa yang ada dalam media sosial,” katanya merujuk kepada dakwaan bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini.

Muhyiddin semasa berada di Milan awal bulan ini berkata kontroversi 1MDB sangat serius dan bakal menjadi parah.

Katanya, isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan BN di Permatang Pauh.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana menjelaskan perkara tersebut kepada orang ramai ketika berkempen.

"Saya tidak tahu apa nak cakap apa.

"Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Tambahnya, perkara itu makin melarat dan bakal memberi kesan buruk bukan sahaja ke atas rakyat tetapi juga Umno. – 21 Mei, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments