Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah berhubung perjanjian jual beli sebidang tanah di ibu negara yang bernilai lebih RM9 juta pada Disember 2010.
How Chee Hong, 48, didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang deposit berjumlah RM9,056,124 bagi perjanjian jual beli sebuah tanah di Lot 3910, Mukim Kuala Lumpur di sini, yang bertarikh 22 Disember 2011.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, 15, Jalan Solaris, Solaris Mount Kiara, Segambut di Kuala Lumpur antara Disember 2010 dan Julai 2012.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat serta boleh dikenakan denda.
Sementara itu, Chee juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menipu pemaju hartanah Datuk Azizi Yom Ahmad, 67, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai yang dia boleh mendapatkan persetujuan daripada pemilik-pemilik tanah untuk menjualkannya kepada Azizi, dan selepas memperoleh wang itu, dia menyerahkannya kepada tempat kerjanya iaitu Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, 15, Jalan Solaris, Solaris Mount Kiara, antara 24 Disember 2010 dan 4 Januari 2012, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhd Ilmami Ahmad menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM200,000 dengan mengambil kira anak guamnya telah berkhidmat sebagai peguam lebih 20 tahun.
"Pihak pembelaan juga memohon mahkamah menahan pasport tertuduh selepas dia pulang dari Paris atas urusan perniagaan pada 9 Mac sehingga 20 Mac ini," kata Kumaraendran.
Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebelum atau pada 21 Mac ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes. – Bernama, 3 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments