Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi jaminan hari ini pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 tidak akan digunakan untuk menyekat wartawan daripada menyampaikan berita kepada orang ramai.
Apandi menegaskan wartawan tidak akan disekat daripada membuat sebarang laporan tetapi mesti berasaskan fakta yang sahih dan mengikut etika kewartawanan.
"Saya juga ingin menjelaskan, tidak menyekat kebebasan wartawan menulis laporan mengikut fakta yang sahih serta etika kewartawanan.
"Sehubungan itu, semua wartawan tidak perlu bimbang mengenai cadangan pindaan ini kerana ia tidak menjejaskan profesion wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan dan rakyat," katanya.
Beliau dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan Exco Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) hari ini.
NUJM hari ini mengadakan pertemuan dengan Apandi di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum menggesa supaya wartawan dilindungi dalam menulis laporan tanpa rasa takut dan bimbang dikenakan tindakan OSA.
Pertemuan tersebut diadakan susulan laporan akhbar bahasa Cina bulan lalu yang mengatakan Apandi sedang menimbang meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan yang melaporkan berita tentang rahsia itu.
Apandi juga berkata, pindaan tersebut masih lagi di peringkat cadangan dan terpulang kepada kerajaan untuk menimbangnya atau sebaliknya.
"Semua orang boleh beri pandangan termasuk saya tetapi pandangan itu terserahlah kepada kerajaan sama ada untuk terima atau tidak.
"Jabatan kami tidak membuat sebarang polisi," katanya.
Apandi juga dilaporkan berkata, ada kemungkinan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sepuluh kali dikenakan, malah pengamal media yang enggan mendedahkan sumber maklumat juga berdepan risiko sama. – 2 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments