Bahasa

Peguam negara gugur dakwaan hasutan Azmi Sharom

 Pengguguran pendakwaan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom dibuat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali selepas mengkaji keterangan daripada semua saksi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Februari, 2016. Pengguguran pendakwaan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom dibuat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali selepas mengkaji keterangan daripada semua saksi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Februari, 2016.Pendakwaan ke atas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom mengikut Akta Hasutan 1948 digugurkan, menurut Jabatan Peguam Negara hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata keputusan itu dibuat selepas mengkaji keterangan daripada semua saksi pendakwaan di mahkamah.

"Demi menegakkan keadilan, dan setelah mengkaji keterangan daripada semua saksi pendakwaan yang memberi keterangan di mahkamah, saya, peguam negara Malaysia selaku pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, dalam menggunakan budi bicara saya, memutuskan untuk memberhentikan pendakwaan ke atas Prof Madya Dr Azmi Sharom untuk pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmi didakwa menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told”, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.

Azmi, yang juga presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau ketika ini menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Apandi berkata dalam kenyataannya, Jabatan Peguam Negara dipertanggungjawabkan melaksanakan pendakwaan secara adil dan saksama.

Dalam menjalankan fungsi ini di bawah undang-undang, katanya, amalan mengkaji semula kes-kes jenayah yang dipertuduhkan di mahkamah, dilakukan dan akan diteruskan.

Tiada alasan diberi peguam negara dalam menggugurkan pertuduhan itu.

Bagaimanapun, tindakan memberhentikan pendakwaan di bawah akta itu sebelum ini pernah dilakukan dalam kes pemimpin DAP Teresa Kok Suh Sim.

Ahli Parlimen Seputeh itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 6 Mei 2014 atas tuduhan menghasilkan klip video berbaur hasutan bertajuk “Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014”, sempena Tahun Baharu Cina pada Februari tahun itu. – 12 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments