Jabatan Peguam Negara akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap 2 warga Australia yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata identiti kedua-dua mereka yang mendakwa sebagai wartawan Australia Broadcasting Corporation (ABC) itu akan disiasat.
"Saya sahkan 2 orang ini ditangkap kerana mereka tidak mengendahkan arahan polis.
"Mereka merempuh kawalan keselamatan perdana menteri...saya tidak tahu apa cuba dilakukan tetapi mereka ingkar arahan polis dan kita tahan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kuching hari ini.
Khalid berkata tindakan 2 warga Australia itu amat tidak wajar kerana program perdana menteri malam tadi, bukannya sesi temubual atau sidang media.
Malam tadi, Najib menghadiri sesi pemimpin bersama masyarakat di Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki, Padawan.
"Jadi, kenapa mereka perlu merempuh kawalan keselamatan untuk dapatkan perdana menteri?
"Kita akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tuduh mereka kerana halang penjawat awam laksanakan tugas," kata Khalid.
Beliau berkata kedua-dua mereka dibebaskan pagi tadi dengan jaminan polis dan perlu berada di negeri ini, sementara siasatan dilakukan.
Khalid berkata pengamal media sama ada tempatan ataupun antarabangsa perlu menjaga etika semasa menjalankan tugas.
"Dalam hal keselamatan, jangan pergi serbu tidak tentu hala. Biasanya perdana menteri akan beri juga kepada pemberita untuk ditemuramah. Kawalan keselamatan perdana menteri adalah tugas polis. Jadi, kita tidak mahu apa-apa tidak elok berlaku kepada perdana menteri," katanya. – Bernama, 13 Mac, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments