Bahasa

Pekerja 3D Malaysia bantah pengambilan warga asing

Ribuan warga Malaysia menyeberang Tambak Johor dari Johor Baru ke Singapura setiap hari untuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan kotor, berbahaya dan susah, juga dikenali sebagai 3D. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Ribuan warga Malaysia menyeberang Tambak Johor dari Johor Baru ke Singapura setiap hari untuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan kotor, berbahaya dan susah, juga dikenali sebagai 3D. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pekerja asing kerana belia tempatan menolak kerja kasar, Zul yang berusia 22 tahun hanya boleh menggelengkan kepalanya seperti tidak percaya.

Graduan muda itu menyeberangi Tambak Johor dari Johor Baru ke Singapura setiap hari untuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang warga asing buat di Malaysia – kotor, berbahaya dan susah, juga dikenali sebagai 3D.

Zul melakukan ini selama 3 tahun hanya kerana satu sebab: gaji bulanan yang diperoleh daripada majikan Singapura.

"Saya mendapat gaji lebih daripada di Malaysia.

"Walaupun kerja sukar, namun gaji diperoleh setimpal," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Woodlands di Tambak Johor baru-baru ini.

"Tidak benar rakyat Malaysia tidak sanggup untuk melakukan kerja 3D.

"Jika tidak, mengapa anda temui ramai rakyat Malaysia di Singapura dan Australia mencari pekerjaan seperti itu? Ini kerana gaji di Malaysia tidak mencukupi."

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan lebih 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura pada 2012, dengan majoriti daripada mereka melakukan pekerjaan kolar biru.

Muhammad Alias Idris dan Muhammad Yusof Zakaria, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura bercakap mengenai pekerjaan dan gaji diterima di negara jiran itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Muhammad Alias Idris dan Muhammad Yusof Zakaria, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura bercakap mengenai pekerjaan dan gaji diterima di negara jiran itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Sesetengahnya seperti Zul, membelanjakan kira-kira RM2,000 memohon permit undang-undang dan kertas kerja lain yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan secara sah di republik itu.

Bagi yang tidak mempunyai permit, mereka berkumpul di sekitar Woodlands setiap pagi, menunggu dijemput majikan mencari pekerja harian.

Mereka boleh memperoleh sehingga S$1,800 sebulan dengan tukaran mata wang kira-kira S$1 untuk RM3, memang jauh berbeza daripada apa yang akan dibawa pulang jika melakukan pekerjaan sama di Malaysia.

Sesetengah pekerja berasal jauh dari Kelantan seperti Azran Che Mat, 34, yang melakukan kerja harian di Singapura selama 4 tahun kerana gaji lebih tinggi.

Beliau adalah antara ramai pekerja ditemui The Malaysian Insider di Singapura yang menolak kenyataan Zahid lebih ramai warga asing diperlukan di Malaysia untuk melakukan pekerjaan ditolak penduduk tempatan.

Mereka berkata, membawa masuk lebih ramai warga asing merupakan langkah salah, kerana ramai rakyat Malaysia mampu dan bersedia melakukan kerja 3D – selagi memperoleh pendapatan mencukupi disebabkan kos hidup yang lebih tinggi.

Tetapi membawa masuk warga asing hanya menurunkan gaji dalam sektor ini, dan memacu rakyat Malaysia untuk mendapatkan gaji yang lebih baik di tempat lain, kata mereka.

"Saya memasuki Singapura ketika berusia 23 tahun hanya untuk melakukan kerja 3D," kata Mohd Alias Idris, 43.

"Masalah di Malaysia ialah gaji, ia terlalu sedikit, dan tidak setimpal dengan kerja kami. Kos sara hidup tinggi, tetapi gaji tidak pernah berubah sejak 1980-an.

"Jika anda membayar kami RM50 sehari untuk kerja kontrak, bagaimana kami boleh memberi makan kepada diri sendiri?"

Mohd Yusof Zakaria, 39, menceritakan beliau cuba bekerja di Malaysia, tetapi berputus asa selepas 3 tahun dengan pendapatan hanya RM30 sehari sebagai pemandu lori.

"Selepas mendapatkan pekerjaan di Singapura, Alhamdulillah, saya dapat membeli sebuah rumah dan kereta.

"Daripada membawa masuk lebih ramai pekerja asing, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan gaji di sini," katanya.

Pasir Gudang, Johor

Kira-kira 30 kilometer dari Singapura, Lucy Gampaih warga Sabah, 43, baru saja selesai hari kerja di tempat yang dipenuhi kilang, bandar perindustrian Pasir Gudang di Johor.

Lucy Gampaih warga Sabah, meninggalkan kampung halaman untuk bekerja kilang di Semenanjung kerana tawaran gaji lebih tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Lucy Gampaih warga Sabah, meninggalkan kampung halaman untuk bekerja kilang di Semenanjung kerana tawaran gaji lebih tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Februari, 2016.Lucy meninggalkan rumahnya di Sabah 23 tahun lalu untuk mencari kerja kolar biru di Semenanjung, selepas mengetahui gaji ditawarkan lebih tinggi.

Bagi rakyat Malaysia Timur seperti Lucy, penambahan warga asing di Malaysia menimbulkan cabaran berbeza.

"Saya fikir kita tidak perlu lagi pekerja asing di Malaysia," kata Lucy.

"Terdapat ramai penganggur di Sabah yang akan menghargai kerja 3D di Semenanjung kerana gaji yang lebih tinggi.

 "Tetapi jika lebih ramai warga asing dibawa masuk, rakyat Malaysia seperti saya tidak akan dapat mencari kerja kerana kita perlu bersaing dengan mereka."

Serinah anak John, 39, dari Sarawak berkata, kehadiran besar warga asing menyukarkannya mendapatkan pekerjaan ketika mula-mula datang ke Semenanjung 5 tahun lalu bersama suaminya.

Tetapi beliau bertungkus lumus mencari kerja di sini, kerana pulang ke Sabah bermakna hanya akan memperoleh pendapatan kurang RM800 sebulan di kilang di Sabah.

Sebaliknya, kilang di Semenanjung Malaysia menawarkan RM900 sebagai gaji permulaan, kata Serinah.

"Adalah sukar bagi saya untuk mendapatkan pekerjaan – akhirnya saya terpaksa menggunakan rakan untuk mencadangkan kepada bos mereka," kata Serinah yang sedang bersiap untuk bekerja syif malam.

"Majikan lebih suka warga asing kerana mereka takut melawan pihak atasan.

"Jika penduduk tempatan tidak puas hati dengan persekitaran kerja, mereka mempunyai kebebasan untuk berhenti."

Putrajaya dikritik hebat apabila dilaporkan 1.5 juta warga Bangladesh akan dibawa ke Malaysia dalam tempoh 3 tahun, berikutan perjanjian yang ditandatangani bersama Dhaka.

Kritikan hebat mendorong Zahid mencabar belia di negara ini untuk mengambil pekerjaan yang kini dikuasai pekerja asing, seperti perladangan dan industri berat.

Putrajaya kemudiannya menjelaskan angka itu mewakili rakyat Bangladesh yang mendaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja. 

Pada 19 Februari lalu, Zahid mengumumkan Putrajaya memutuskan membekukan pengambilan pekerja asing dari semua negara, termasuk Bangladesh. – 29 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments