Seorang pekerja Projek Aliran Transit Massa (MRT) maut akibat tersepit besi ketika memasang siling di tapak pembinaan Stesen Kwasa Damansara, Kota Damansara di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa Mohd Amin Wahip, 25, dari Sandakan, Sabah yang baru memulakan tugas di syarikat berkenaan 3 bulan lepas dikatakan menaiki kren ‘skylift’ untuk memasang siling di situ.
Kren yang dinaiki mangsa dipercayai mengalami kerosakan sistem hidraulik menyebabkan 'skylift' berkenaan meluncur dan melanggar besi pada stesen MRT, mengakibatkan mangsa tersepit.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Rozi Jidin berkata ketika kejadian, mangsa melakukan kerja pemasangan itu seorang diri manakala pemandu kren berkenaan pergi ke tandas semasa insiden berlaku.
"Mangsa cedera di leher dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rozi berkata mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, kenyataan MRT Corporation dan MMC Gamuda KVMRT (PDP) berkata mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kemalangan tersebut.
"MRT Corporation dan MMC Gamuda KVMRT (PDP) kesal dengan insiden ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," tambah kenyataan itu. – Bernama, 24 Februari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments