Bahasa

Pembahas terkemuka Asia sertai gerakan ‘Selamatkan Malaysia’

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kumpulan Challenger tidak dibentuk bagi menghasilkan wang tetapi ke arah membentuk Malaysia yang lebih baik. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2016.Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kumpulan Challenger tidak dibentuk bagi menghasilkan wang tetapi ke arah membentuk Malaysia yang lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2016.Kumpulan anak muda yang baru ditubuhkan, Challenger, akan mengkritik sesiapa saja yang dirasakan perlu, kata pengasas dan jurucakapnya .

Juara debat itu berkata, kumpulan tersebut tidak didokong mana-mana ahli politik atau parti politik dan ia tidak dibentuk bagi menghasilkan wang tetapi ke arah membentuk Malaysia yang lebih baik.

"Kami tiada penaja. Dan apabila masanya tiba, kami akan pastikan ada mekanisma bagi memastikan semua wang yang masuk dimanfaatkan dengan baik.

"Saya juga akan memastikan sumber itu didedahkan kepada orang awam. Kami mahu memastikan kami boleh mengkritik sesiapa yang kami rasakan perlu," kata Syed Saddiq.

Beliau merupakan juara debat sebanyak 3 kali dan bekas peserta Felo Perdana di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

Syed Saddiq meninggalkan program felo tersebut kerana kelantangannya mengkritik kerajaan dan beliau tidak mahu Nancy turut terkena tempias daripada tindakannya itu.

Felo Perdana adalah satu inisiatif yang memberi peluang kepada belia Malaysia berbakat merasai pengalaman pentadbiran negara tahap tertinggi di peringkat Putrajaya.

Mengulas tentang Challenger, Syed Saddiq berkata, kumpulan itu disertai mahasiswa dan graduan berumur di antara 18 dan 20-an.

"Ada antara mereka yang saya belum pernah bertemu muka. Kami berkomunikasi kebanyakannya menerusi platform mesej dan media sosial. Kami bertukar-tukar fikiran sejak Disember.

"Kami bermula dengan 15 orang, dan kemudian 25 orang. Dan kini selepas menerbitkan kenyataan kami yang pertama Isnin lalu, kami sudah ada 70 orang."

Katanya, kumpulan itu disertai belia yang mewakili kedua-dua belah pihak kerajaan dan parti pembangkang.

Beliau bercadang menjemput lebih ramai lagi penyertaan, mengatakan mereka mempunyai beberapa perancangan yang tidak boleh didedahkan buat masa ini.

Syed Saddiq ialah pengacara majlis pada acara menandatangani deklarasi "Selamatkan Malaysia" semalam yang berikrar menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui cara demokratik dan berperlembagaan.

Acara itu diterajui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Syed Saddiq merupakan antara 58 orang yang menurunkan tandatangan mereka menyokong deklarasi itu.

"Kalau orang kata kita tidak mampu melakukan apa-apa, saya katakan jika bekas perdana menteri berusia 90 tahun masih boleh aktif berjuang untuk negara kita bersama mereka yang sebaya ibu dan ayah serta datuk kita, maka kita tidak ada sebab untuk kita tidak berbuat apa-apa dan menyerahkan nasib kepada orang lain," katanya.

Ditanya tentang keputusannya menyertai majlis semalam, Syed Saddiq berkata, beliau memberi persetujuan selepas dijemput pada saat-saat akhir.

"Saya terkejut dan saya ambil beberapa minit sebelum bersetuju.

"Saya tidak terus bersetuju kerana saya teringatkan pertemuan dengan polis cawangan khas dan nasihat pengurusan universiti," katanya.

Pada usia 23 tahun, Syed Saddiq adalah individu termuda menandatangani deklarasi semalam.

Katanya, beliau menerima jemputan itu kerana merasakan negara perlukan perubahan.– 5 Mac, 2016.


 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments