Bahasa

Pemimpin pembangkang beri amaran PM British sebelum pertemuan dengan Najib

Pemimpin pembangkang berpendapat pertemuan David Cameron dengan Datuk Seri Najib Razak akan memperlihatkan ketidakprihatinan kerajaan United Kingdom mengenai skandal dihadapi Najib ketika ini. – Gambar fail Reuters, 25 Julai, 2015.Pemimpin pembangkang berpendapat pertemuan David Cameron dengan Datuk Seri Najib Razak akan memperlihatkan ketidakprihatinan kerajaan United Kingdom mengenai skandal dihadapi Najib ketika ini. – Gambar fail Reuters, 25 Julai, 2015.Pemimpin pembangkang mengkritik masa lawatan Perdana Menteri Britain David Cameron ke Malaysia minggu depan, mengatakan ia boleh memberi mesej yang Downing Street tidak menghiraukan dakwaan melibatkan Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Financial Times (FT) British memetik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai berkata, lawatan Cameron boleh menunjukkan kerajaan UK tidak mengambil berat mengenai "keadaan skandal didepani Najib ketika ini".

Manakala pemimpin DAP Tony Pua dipetik memberi amaran sebarang sokongan kepada Najib akan merosakkan imej Britain "sebagai sebuah negara yang menyokong prinsip demokrasi dan tadbir urus yang baik".

Bagaimanapun, seorang pegawai British tampil mempertahankan lawatan itu, mengatakan Cameron percaya kepada perlunya melibatkan diri dengan semua pemimpin.

"Beliau pernah berkata, cara untuk bercakap mengenai isu ialah dengan membina perhubungan dan cuba bekerjasama dengan negara itu.

"Malaysia merupakan rakan lama UK dan hubungan itu penting demi kesejahteraan dan keselamatan kita," FT memetik sumber di Downing Street itu sebagai berkata.

Kerajaan Najib kini sedang menangani dakwaan salah urus dan rasuah berhubung syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, yang mengumpul hutang sehingga RM42 bilion.

Kemelut itu makin hangat selepas The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan bulan lalu, berbilion ringgit daripada dana milik negara itu didakwa berakhir dalam akaun bank peribadi Najib, dakwaan yang bagaimanapun dinafikan perdana menteri.

Cameron dan Najib bertemu di Kuala Lumpur pada 2011 ketika kemuncak protes Bersih menggesa supaya pembaharuan pilihan raya diadakan, mencetuskan kritikan daripada rakyat Malaysia di UK.

Cameron ketika ini dalam siri mesyuarat berprofil tinggi dengan pemimpin Asia bagi menggalakkan perdagangan British di luar Eropah, termasuk mengadakan mesyuarat dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi pada tahun ini.

Menurut FT, Britain berminat menjual jet tentera Eurofighter Typhoon kepada Malaysia, dan menteri merasa kecewa melihat pesawat itu kalah kepada pesaing di Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan India. – 25 Julai, 2015.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments