Pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang sebelum ini membuat beberapa laporan di peringkat antarabangsa terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini disekat ke luar negara atas arahan Bukit Aman.
Khairuddin yang dihubungi The Malaysia Insider mengesahkan mengenai sekatan tersebut, memberitahu imigresen menerima arahan daripada Bukit Aman supaya tidak membenarkan beliau ke luar negara.
"Betul, dilarang ke luar negara oleh Jabatan Imigresen atas arahan Bukit Aman," katanya kepada The Malaysian Insider menerusi aplikasi WhatsApp.
Khairuddin sepatutnya berlepas ke New York dan London pagi ini dengan semua tempahan tiket dan penginapan sudah dibuat.
Katanya, sekatan ke luar negara yang dikenakan terhadapnya hari ini menyebabkan beliau kerugian banyak kerana sudah membayar tiket dan penginapan.
"Semua persiapan membeli tiket kapal terbang serta tempat penginapan di New York dan London rugi saja kerana saya tidak dibenarkan ke luar negara tanpa sebarang alasan munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, Khairuddin mendakwa tiada sebarang notis diberikan kepadanya sehinggalah mengetahui sendiri sekatan itu hari ini.
“Jabatan Imigresen dan polis tidak memberi notis kepada saya," katanya.
Katanya, Bukit Aman hanya memberikan alasan "sebab-sebab khas" kepada Jabatan Imigresen terhadap arahan sekatan itu.
Naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu dipecat daripada jawatan parti pada Februari tahun ini susulan laporan polis terhadap 1MDB yang dibuatnya tahun lepas.
Umno bagaimanapun berkata jawatan Khairuddin terlucut kerana diisytiharkan muflis.
The Malaysian Insider difahamkan selain Khairuddin, peguamnya Matthias Chang yang juga bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad turut dihalang ke luar negara.
Sebelum ini, Khairuddin mendapatkan bantuan penyiasat antarabangsa berhubung siasatan 1MDB dengan membuat laporan polis di London terhadap firma itu dan rakan usahasamanya PetroSaudi International bagi dakwaan pengubahan wang haram.
Khairuddin juga membuat laporan polis terhadap 1MDB di Perancis dan mendakwa polis Lyon pernah menghubunginya dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.
Beliau juga mengemukakan bukti berkaitan 1MDB kepada peguam negara Switzerland di Bern, meminta pihak berkuasa negara itu menyiasat aktiviti syarikat tersebut yang melibatkan bank Switzerland dan beberapa bank antarabangsa.
Terbaru, beliau memohon pihak berkuasa Hong Kong melakukan siasatan terperinci dan menyeluruh mengenai sumber kewangan beberapa syarikat yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.
1MDB adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beliau juga bertindak sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat itu yang kini dibebani hutang RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi. – 18 September, 2015.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments