Pemuda PKR mengecam tangkapan kali kedua aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Ghani dalam masa seminggu dan menggesa pembebasan segera.
Khairul Nizam atau Aduka Taruna ditahan pada 8 Januari lepas atas tuduhan menghasut yang boleh dijatuhkan hukuman denda RM5000 atau Penjara 3 tahun.
"Kerajaan Malaysia masih terlalu keras terhadap ekspresi rakyat.
"Kerajaan Malaysia samada keliru atau sengaja ingin menafikan hak rakyat daripada bersuara sehingga aktivis yang bersuara dilayan seperti penjenayah," kata Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab dalam satu kenyataan hari ini.
Syukri berkata tindakan diambil ke atas aktivis itu suatu yang sia-sia kerana musuh sebenar rakyat adalah jenayah yang masih berleluasa dan menggugat ketenteraman awam.
"Sesuatu yang sangat merugikan jika belanjawan negara untuk keselamatan dan ketenteraman awam dibelanjakan untuk menahan aktivis yang merayakan demokrasi.
"Dalam bajet 2016, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM13.1 bilion untuk meningkatkan keselamatan awam. Maka apakah signifikannya penahanan aktivis rakyat ini dengan peningkatan keselamatan negara?
"Bukankah tindakan ini merupakan pembaziran tenaga dan wang negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih jelas," katanya.
Syukri berkata aktivis bukan ancaman kepada negara, tetapi kerajaan sepatutnya menumpukan menjaga keselamatan rakyat pada ketika keadaan ekonomi mencabar akan menyebabkan kadar jenayah akan lebih tinggi.
"Dalam keadaan Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar untuk ekonomi rakyat, maka sewajarnya seluruh jentera keselamatan negara memberikan tumpuan terhadap pengawasan jenayah indeks seperti samun, rompak, pecah rumah, ragut dan jenayah kekerasan yang lain," katanya.
Syukri juga menggesa supaya Putrajaya berhenti menggunakan undang-undang untuk menekan pengkritiknya.
"Sudah tiba masanya untuk kerajaan berhenti menggunakan undang-undang zalim untuk menafikan hak rakyat bersuara," katanya. – 10 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments